top of page

PM Anwar umum peruntukan tambahan RM30 juta naik taraf laluan Gerik-Jeli


PM Anwar umum peruntukan tambahan RM30 juta naik taraf laluan Gerik-Jeli
Gambar hiasan

PM Anwar umum peruntukan tambahan RM30 juta naik taraf laluan Gerik-Jeli

GERIK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat (FT004) menghubungkan Gerik-Jeli.


Jumlah itu menjadikan peruntukan disalurkan khusus bagi penambahbaikan dan baikpulih JRTB bagi 2023 berjumlah RM75.676 juta, meningkat daripada RM45.676 juta yang diumumkan Jun lalu.


Perdana Menteri berkata, permintaan peruntukan bagi penyelenggaraan jalan raya sememangnya banyak, justeru lebihan permintaan lainnya akan dikaji dalam sesi Belanjawan 2024 kelak.


"Baru-baru ini memang sudah diluluskan sekitar beberapa puluh juta namun diminta lagi, jadi untuk jalan-jalan ini walaupun permintaannya banyak tetapi tak mengapa nanti saya akan kaji dalam Belanjawan Madani kedua Oktober nanti.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

"Tetapi hari ini saya boleh lulus tambahan RM30 juta," katanya sewaktu berucap merasmikan Pelancaran Kempen MYJalan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Jeti Awam Pulau Banding, di sini, hari ini.


Yang turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.


Kempen MYJalan selaras pelancaran aplikasi MyJalan yang dapat meningkatkan keupayaan sistem aduan KKR sedia ada, bertujuan meningkatkan akauntabiliti pengguna jalan raya, pemain industri, dan agensi kerajaan yang berbentuk platform advokasi dan pendedahan mengenai penyelenggaraan jalan raya.


Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan sumbangan sagu hati berjumlah RM1,000 masing-masing kepada ahli keluarga 87 individu yang terbabit sebagai pekerja pembinaan, termasuk tiga yang terkorban ketika menyiapkan laluan JRTB sekitar 1974 sebagai mengenang jasa yang dicurahkan kesemua kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam menyiapkan laluan sepanjang 123 kilometer (km) itu.


Kata Anwar, kelulusan bagi projek berupa pembaikan kemudahan asas termasuk lebuh raya dan jalan raya khususnya di kawasan pedalaman atau luar bandar termasuk seperti di Gerik padanya lebih membawa pulangan dan habuan sangat bermakna buat rakyat berbanding projek pembinaan gedung dan bangunan besar di ibu kota.


Menerusi Belanjawan 2023 lalu, sebanyak RM1.659 bilion diperuntukkan kepada KKR dengan RM370 juta daripada jumlah itu disalurkan sebagai peruntukan tambahan bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan seluruh negara.


Peruntukan RM370 juta itu membabitkan RM300 juta bagi kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan yang tiada dalam syarat kontrak syarikat konsesi sebagai inisiatif memberi manfaat besar kepada kontraktor kecil G1-G4; RM20 juta peruntukan khas kepada Jurutera-Jurutera Daerah bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan kecil pada kadar segera; dan RM50 juta bagi kerja pemasangan dan penyenggaraan lampu jalan di kawasan tinggi risiko kemalangan.


Sumber: Berita Harian


PM Anwar umum peruntukan tambahan RM30 juta naik taraf laluan Gerik-Jeli


Comments


bottom of page