PKP: 30,000 permohonan sektor pembinaan diterima untuk terus operasi

Updated: May 1


Syarikat diluluskan beroperasi sepanjang PKP akan dipantau untuk pastikan mereka mematuhi SOP ditetapkan. - Foto Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: Lebih 30,000 permohonan diterima Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) daripada sektor pembinaan sehingga semalam, untuk memulakan semula operasi dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata daripada jumlah itu, hanya lebih 7,000 permohonan sahaja diluluskan, manakala selebihnya ditolak kerana tidak memenuhi kriteria digariskan.


Katanya, syarikat yang gagal dalam permohonan bagaimanapun boleh mengemukakan rayuan dan MITI akan merujuk semula Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk dipertimbangkan kelulusan, dengan syarat mengikut garis panduan ditetapkan.


"Bagi permohonan diluluskan juga, banyak prosedur operasi standard (SOP) ketat perlu dipatuhi termasuk pekerja wajib melalui saringan suhu badan sebelum masuk kerja dan jika ada gejala COVID-19, majikan perlu memastikan mereka dihantar ke klinik.


"Selain itu, menjaga penjarakan sosial, menyediakan cecair pencuci tangan dan kediaman serta tempat kerja pekerja perlu disanitasi. Itu jadi pra syarat yang mesti dipatuhi," katanya.


Beliau berkata demikian ketika wawancara program Bicara Politikonomi bertajuk 'Cabaran Sektor Pembinaan: Normal Baharu Mendepani COVID-19' disiarkan secara langsung di RTM, malam ini.


Fadillah memaklumkan, satu jawatankuasa pemantau dan penguakuatkuasan diketuai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ditubuhkan bagi memastikan sektor pembinaan mematuhi undang-undang di bawah PKP serta SOP ditetapkan.


Katanya, jawatankuasa khas itu dianggotai agensi kementerian di bawah kluster infrastuktur termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri.


"Kita akan memantau semua syarikat diluluskan untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP ini. Kita akan membuat pemeriksaan mengejut bagi memastikan mereka melaksanakan semua SOP ditetapkan.


"Syarikat yang gagal permohonan beroperasi juga akan dipantau kerana kita tidak mahu mereka tetap beroperasi walaupun tidak diluluskan.


"Pada masa sama, kita wujudkan talian khas bagi orang ramai membuat aduan dan kita boleh menjalankan siasatan terhadap sebarang kegagalan mematuhi undang-undang ditetapkan," katanya.


Fadillah bagaimanapun berkata, jika terdapat satu sahaja kes jangkitan COVID-19 di tapak pembinaan, kawasan itu akan ditutup serta-merta dan Kementerian Kesihatan akan melaksanakan sanitasi serta menjalankan saringan ke atas semua kontak rapat.


"Kementerian Kesihatan mempunyai SOP perlu dipatuhi dan hanya mereka yang boleh menentukan sama ada tapak pembinaan itu boleh dibuka semula atau sebaliknya.


"Justeru, amat penting untuk syarikat yang memohon mematuhi SOP bagi mengelakkan penutupan operasi dan menjejaskan syarikat serta pekerja," katanya.


Beliau juga memaklumkan, sektor pembinaan negara kerugian kira-kira RM11.6 bilion ketika pelaksanaan PKP pertama.


Justeru katanya, bagi merangsang ekonomi, syarikat di bawah sektor itu boleh memohon untuk beroperasi semula, berbanding hanya syarikat dengan kriteria tertentu sahaja yang dibenarkan pada peringkat awal PKP, antaranya disebabkan faktor keselamatan dan projek yang 90 peratus siap.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #Covid19 #kontraktor

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.