SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan nilai pembiayaan perumahan lebih RM100 juta menerusi kerjasama sulung dengan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Kedua-dua pihak memeterai memorandum persefahaman (MoU) menerusi tawaran kemudahan pembiayaan komprehensif kepada pembeli rumah PKNS terutama golongan B40.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, jalinan kolaborasi strategik itu merupakan salah satu usaha bagi menarik bakal pembeli memiliki rumah idaman mereka.
“BSN akan menawarkan pelbagai pakej pembiayaan bersesuaian mengikut keperluan dan kelayakan pelanggan bagi memperoleh kediaman selesa serta mampu milik. Kita sasarkan pembiayaan perumahan bernilai lebih RM100 juta akan dimohon pembeli menerusi kerjasama dengan BSN.
“Kolaborasi ini mampu meningkatkan kemajuan sektor perumahan terutama di Selangor menerusi tawaran pakej pembiayaan komprehensif sama ada projek pembangunan hartanah yang telah siap atau sedang dibina,” katanya selepas menandatangani MoU itu dengan Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Jay Khairil Jeremy Abdullah di Ibu Pejabat PKNS di sini, hari ini.
Kerjasama itu turut membuka peluang kepada pembeli untuk memenangi hadiah kelengkapan rumah sehingga RM50,000.
Jelas Mahmud, pihaknya sentiasa berusaha memenuhi keperluan rakyat menerusi kolaborasi dengan institusi perbankan dan rakan korporat bagi memenuhi keperluan pembeli rumah.
“PKNS juga mahu meningkatkan tahap pemilikan kediaman kepada lebih ramai masyarakat terutama belia dan pembeli rumah pertama. Berbekalkan pengalaman lebih lima dekad, kami komited menyediakan pelbagai produk hartanah yang dapat memenuhi keperluan pelanggan,” ujarnya.
Sumber: Kosmo!
Kommentare