Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merancang untuk melancarkan 10 projek tahun ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, projek yang akan dilancarkan secara berperingkat itu ditawarkan pada harga bermula dari RM270,000 hingga RM550,000 setiap unit meliputi kediaman, komersial dan industri.
"Kita merancang melancarkan kira-kira 10 projek tahun ini dengan menjangkau GDV sebanyak kira-kira RM1 billion.
"Antara projeknya di Shah Alam dan Bangi. Kita juga akan melancarkan projek di Selangor Cyber Valley iaitu di Cyberjaya sesuai untuk golongan muda.
"Bagi projek ini juga, pelanggan berpeluang menggunakan skim Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) (yang dimeterai hari ini)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) antara PKNS dengan Bank Muamalat di sini, hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh beliau dan Bank Muamalat diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin.
Mengulas mengenai MOU itu katanya, PKNS menjalin kerjasama strategik dengan menerusi penawaran pembiayaan perumahan kepada individu dan entiti perniagaan.
Katanya, ini sebagai usaha membuka peluang dan membantu lebih ramai golongan masyarakat dalam pemilikan hartanah khususnya kediaman dan komersial.
"Menerusi kolaborasi ini, Bank Muamalat akan menyediakan pembiayaan akhir end-financing kepada pelanggan PKNS yang berpotensi bagi produk hartanah yang dibangunkan oleh PKNS di seluruh Malaysia membabitkan projek perumahan pelbagai peringkat termasuk projek mampu milik.
"Bagi golongan individu, Bank Muamalat menawarkan khidmat nasihat pembiayaan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Skim Rumah Pertamaku (SRP) dengan kerjasama Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad dan Cagamas Berhad.
"Manakala bagi segmen perniagaan, akan disediakan khidmat nasihat dan kemudahan untuk industri kecil dan sederhana (PKS) yang melibatkan vendor dan rakan niaga," katanya.
Mahmud berkata, kemudahan pembiayaan itu membantu pelanggan PKNS sama ada individu atau entiti perniagaan untuk memiliki hartanah menerusi penawaran pakej yang bersesuaian mengikut keperluan dan kelayakan pelanggan.
"Sememangnya menjadi hasrat PKNS untuk meningkatkan tahap pemilikan kediaman kepada lebih ramai masyarakat terutamanya golongan belia dan pembeli rumah pertama.
"Berbekalkan pengalaman lebih lima dekad, kami komited untuk menyediakan pelbagai produk hartanah yang dapat memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai dan saya percaya jalinan kerjasama ini akan membantu memberikan lebih pilihan sekaligus membantu merealisasi objektif ini," katanya.
Beliau berkata, pembiayaan itu ditawarkan untuk pelbagai produk hartanah PKNS yang sedang dan siap dibina merentasi seluruh kawasan di negeri Selangor.
"Antaranya Puteri Soraya dan Puteri Aira di Kota Puteri; Azhara, Cassia di Antara Gapi; Rafflesia di Bernam Jaya; Anggun Kirana dan Hijauan Enklaf di Alam Nusantara dan Aurora di Selangor Cyber Valley.
"Selain itu, antara projek yang sedang menerima tempahan yang amat menggalakkan adalah Residensi Advena, Seksyen 16 di Shah Alam.
"Setakat ini lebih 70 peratus tempahan diterima daripada jumlah keseluruhan 232 unit. Kediaman pangsapuri berkonsepkan moden kontemporari ini mempunyai keluasan 941 kaki persegi dan merupakan kediaman mampu milik dan mempunyai lokasi yang strategik berhampiran dengan laluan transit utama di pusat bandar Shah Alam," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comments