top of page

PKNS rangka pelan hala tuju bagi 2030


PKNS rangka pelan hala tuju bagi 2030 Berita Harian www.bharian.com.my
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada penerima pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang PKNS 2022 di Pusat Kovensyen Shah Alam - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sedang merangka pelan hala tuju bagi rancangan wawasan 2030 untuk memastikan agensi itu mampu muncul sebagai organisasi bertaraf dunia di masa akan datang.


Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas, berkata setelah hampir 58 tahun PKNS ditubuhkan, agensi itu perlu bergerak ke hadapan agar lebih berjaya daripada syarikat-syarikat konglomerat Malaysia yang lain serta mampu memberi sumbangan kepada pembangunan ekonomi negeri.


"Dalam wawasan 2030 yang akan dikupas dan sedang dikupas ini, kita akan fikirkan apa yang mahu kita capai pada 2030 nanti, apa yang perlu dibuat serta projek apa yang perlu dilakukan untuk kepentingan rakyat.


"Ini semua akan dikupas dan saya berharap semua pihak boleh memberi pandangan untuk wawasan 2030 ini," katanya ketika berucap sempena majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PKNS 2021 di sini, malam tadi.


Seramai 75 kakitangan PKNS menerima APC 2021 yang disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi menghargai komitmen dan jasa disumbangkan kakitangan sepanjang tahun lalu.


Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya berkata beliau berbangga dengan prestasi PKNS yang telah berkembang daripada sebuah institusi yang ingin membangunkan komuniti dan masyarakat di Selangor, kini telah melebarkan sayap dalam pelbagai sektor serta juzuk perniagaan.


"Dari industri tenaga, pembuatan hingga perkhidmatan, PKNS tidak ketinggalan meneruskan usaha-usaha pembangunan bandar serta perumahan kepada masyarakat," katanya.


Pada masa yang sama, Amirudin mahu PKNS mengekalkan peranan sedia ada selain meningkatkan status dan kualiti demi kemajuan masa depan.


Sumber: Berita Harian

10 views

Comments


bottom of page