top of page

Pimpinan kerajaan tidak sepatutnya lindungi kontraktor gagal - Guan Eng


Pimpinan kerajaan tidak sepatutnya lindungi kontraktor gagal - Guan Eng
Fasa 1 Taman Gurney Bay yang baru dibuka kepada orang awam pada Ahad lalu.

Pimpinan kerajaan tidak sepatutnya lindungi kontraktor gagal - Guan Eng

GEORGE TOWN - Pimpinan kerajaan tidak sepatutnya melindungi mana-mana kontraktor atau penjawat awam yang gagal dalam penyeliaan tugas dan pemantauan kerja secara pofesional apabila melibatkan kepentingan orang awam.


Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, adalah tidak munasabah bagi pihak kerajaan untuk membiarkan sahaja sama ada kontraktor atau penjawat awam yang culas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan membiarkan peralatan di Fasa 1 Taman Gurney Bay rosak pada hari pertama ia dibuka kepada orang ramai.


Kata beliau, perkara itu tidak boleh diterima sama sekali.


"Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengutamakan kepentingan awam melebihi kontraktor mahu pun penjawat awam yang gagal di dalam melaksanakan kerja mereka.


"Ini kerana, pelbagai aduan mengenai taman tersebut diterima daripada orang awam termasuk dakwaan retakan pada kepingan konkrit serta tali permainan putus yang boleh membawa kecederaan serius kepada kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.


Pada Isnin, Guan Eng dalam hantaran Facebooknya mempersoalkan tentang kualiti kerja di tapak Fasa 1 Taman Gurvey Bay, Persiaran Gurney apabila ia dilaporkan rosak setelah sehari ia dibuka kepada orang awam.


Menurut Guan Eng, bukan sahaja tali pada alat permainan didakwa rosak, struktur konkrit juga dilaporkan retak semasa pembukaan fasa 1 taman berkenaan.


Beliau turut mempersoalkan kos fasa 1 projek tersebut yang melibatkan kos sebanyak RM247 juta.


Dalam pada itu, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, walaupun setakat ini hanya RM58 juta telah dibayar kepada pihak kontraktor untuk Fasa 1 dengan baki RM189 juta untuk Fasa 2 akan diteruskan kelak, hasil kerja tidak sepatutnya seteruk itu.


"Jika hasil kerja tidak memuaskan seperti ini, bagaimana kita boleh meletakkan keyakinan kepada kontraktor yang sama bagi menyelesaikan baki kerja bernilai RM189 juta dengan teratur dan baik?


"Bagaimana seorang kontraktor yang memiliki prestasi sebegitu teruk telah dipilih untuk projek besar bernilai RM247 juta ini?" katanya.


Guan Eng turut mempertikaikan persepsi orang ramai mengenai taman rekreasi pertama di Malaysia yang dibina di tepi pantai tersebut.


"Taman rekreasi di tepi pantai Gurney Bay ini adalah satu-satunya di Malaysia. Ia mula diperkatakan dan dicadangkan di kawasan tambakan terbabit ketika saya berkhidmat sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.


"Orang awam pasti mahu melihat pembinaan Fasa 2 siap dengan sempurna kelak, namun prestasi kontraktor ini tidak memberikan sebarang sebab untuk kita menjadi optimis," katanya lagi.


Ujar beliau, keperluan kontrak 'Damage Liability Period' (DLP) untuk pihak kontraktor bukan alasan untuk membenarkan kontraktor tidak melaksanakan kerja dengan baik.


"Pihak kontraktor bertanggungjawab ke atas kerosakan dalam tempoh dua tahun di bawah keperluan kontrak DLP, namun keperluan DLP ini bukan lah membenarkan kontraktor untuk tidak melaksanakan tugasnya sebaik mungkin ataupun lesen bagi bekerja secara sambil lewa hanya kerana ia boleh diperbaiki kemudian hari.


"Kita bernasib baik kerana tiada kanak-kanak yang tercedera akibat kerosakan di taman permainan tersebut. Bayangkan trauma yang dialami oleh kanak-kanak sekiranya tali pada alatan permainan tersebut putus?" tambah beliau lagi.


Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang menafikan kenyataan yang dikeluarkan Guan Eng berhubung kos Fasa 1 Taman Gurney Bay yang baru dibuka kepada orang awam pada Ahad.


Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Fasa 1 Gurney Bay tidak melibatkan kos sebanyak RM247 juta seperti yang didakwa Guan Eng dalam hantaran di Facebooknya.


Kata Kon Yeow, jumlah itu sebenarnya merupakan kos penuh bagi projek Taman Gurney Bay termasuk Fasa 1 dan 2.


Mengenai kerosakan di tapak berkenaan yang turut disuarakan Guan Eng, Kon Yeow berkata, pihak kontraktor bertanggungjawab selama dua tahun atas syarat DLP.


Sumber: Sinar Harian


Pimpinan kerajaan tidak sepatutnya lindungi kontraktor gagal - Guan Eng

Comments


bottom of page