top of page

PETRONAS, DNV jalin kerjasama berkaitan karbon


Syarikat minyak dan gas nasional, PETRONAS - NSTP/Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: PETRONAS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan DNV, pakar bebas dalam pengurusan risiko dan jaminan, untuk menangani cabaran teknikal, kawal selia dan perniagaan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).


Dalam satu kenyataan, DNV berkata kedua-dua pihak merancang untuk bekerjasama dalam inisiatif dan aktiviti yang berkaitan dengan penggunaan CCUS dengan memanfaatkan kemahiran teknikal, sumber dan keupayaan penyelidikan setiap organisasi.


Skop kerjasama meliputi perkara-perkara teknikal (termasuk keselamatan, alam sekitar, risiko, teknologi dan kelayakan tapak penyimpanan), perundangan dan peraturan, pembangunan keupayaan, dan kawasan komersial.


Menurut DNV, MoU itu telah ditandatangani pada 8 Julai 2022, antara Pengurus Besar Kanan Pengurusan Karbon PETRONAS, Emry Hisham Yusoff dan Naib Presiden dan Pengarah Wilayah DNV (Sistem Tenaga Asia Pasifik), Brice Le Gallo.


Ketua Pembangunan Perniagaan DNV (CCUS, Sistem Tenaga), Jamie Burrows, berkata kerjasama itu akan memacu kemajuan CCUS bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh rantau ini.


"CCUS akan memainkan peranan penting dalam peralihan tenaga di Asia. Melalui inisiatif ini, kami menyasarkan untuk menangani beberapa bidang asas kepada penubuhan hab serantau dan dengan itu membolehkan akses yang lebih besar kepada infrastruktur CCUS," tambahnya.


Projek ini, yang membolehkan penangkapan pelepasan karbon dioksida daripada aktiviti perindustrian, boleh memainkan peranan penting dalam peralihan Asia Tenggara kepada sifar bersih, kata DNV.



Sumber: Berita Harian

Comentarios


bottom of page