PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Geran Komuniti Petaling Jaya Mampan 4.0 (PJ SEED) bagi tahun 2022 yang bertujuan merancang dan melaksanakan projek untuk membantu meningkatkan prestasi dalam bidang berkaitan.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md. Amir berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan prestasi pihak berkuasa bertempatan (PBT) dalam 10 bidang berkaitan menerusi penyertaan masyarakat, rakan perkongsian dan inklusif ke arah Petaling Jaya Mampan 2030.
“Dengan kata lain, pemberian bantuan kewangan permulaan kepada masyarakat untuk melaksanakan inisiatif tersebut membantu meningkatkan program, strategi dan hala tuju majlis dalam bidang yang digariskan.
“Kami berharap inisiatif yang dilaksanakan ini mendapat sambutan dan penglibatan daripada masyarakat setempat agar objektif yang dirancang dapat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan itu.
Menurut Mohamad Azhan, Geran Komuniti PJ SEED dilancarkan sejak tiga tahun lepas dan MBPJ meluluskan sebanyak 93 projek dengan peruntukan berjumlah RM1.45 juta diberikan kepada organisasi terpilih dan layak.
Katanya, hanya projek dalam bidang berkaitan dengan tujuan meningkatkan prestasi MBPJ sahaja yang layak mendapat bantuan geran.
“Memandangkan tahun ini adalah tahun keempat pelaksanaan PJ Seed, kriteria dan bidang utama ditambah baik dan hanya projek yang memberi impak tinggi kepada MBPJ diberi keutamaan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
留言