top of page

Peruntukan kecemasan RM6.4 juta bersih Sungai Kim Kim


MUAR: Kerajaan negeri menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri meluluskan peruntukan kecemasan RM6.4 juta bagi mempercepatkan kerja pembersihan Sungai Kim Kim yang terjejas akibat pencemaran bahan kimia berbahaya.


Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata kerja pembersihan itu akan dilakukan di sepanjang 1.5 kilometer dari lokasi pencemaran bahan kimia terbabit.


“Kerja pembersihan ini akan dilakukan kontraktor sedia ada di sepanjang 1.5 kilometer dari kawasan pencemaran. Tindakan melantik dua kontraktor baharu juga dilakukan sebagai langkah tambahan mengawal kesan pencemaran bahan kimia yang dilaksanakan sejak 7 Mac lalu dan dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS).


“Kerja pembersihan terbabit dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu, namun ia bergantung kepada keadaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya, hari ini.


Osman berkata, kerajaan negeri turut mendapatkan bantuan peralatan mengesan sisa kimia daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PETRONAS bagi membuat bacaan secara terus tahap pencemaran di Pasir Gudang.


Selain itu, katanya, peralatan pengesan angin milik Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) juga turut dibawa ke lokasi pencemaran.


“Berdasarkan pemantauan semasa dilakuan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mendapati penduduk di kawasan perumahan di sekitar Sungai Kim-Kim didapati kurang berisiko berbanding kawasan sekolah yang terbuka.


“Justeru, tiada keperluan memindahkan penduduk berikutan keadaan terkawal.


Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan tidak menghampiri kawasan kejadian dan pada masa sama, mengambil langkah pencegahan dengan mengurangkan aktiviti luar serta memakai topeng muka jenis R95 bagi mengelak kesan pencemaran,” katanya.



38 views
bottom of page