top of page

Perumahan Inklusif MADANI diharap tawar kelainan


Perumahan Inklusif MADANI diharap tawar kelainan
Rata-rata warga Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang bagaimanapun berharap projek perumahan berkenaan menawarkan kelainan dengan harga berpatutan berbanding projek perumahan sedia ada. -Gambar fail/Bernama

Perumahan Inklusif MADANI diharap tawar kelainan

KUALA LUMPUR: Inisiatif projek rintis Perumahan Inklusif MADANI untuk golongan sasar di kawasan bandar-bandar utama mampu membuka lebih ruang buat warga kota memiliki rumah.


Rata-rata warga Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang bagaimanapun berharap projek perumahan berkenaan menawarkan kelainan dengan harga berpatutan berbanding projek perumahan sedia ada.


Pekerja swasta Muhammad Arif Zainal Abidin, 31, dari Ampang di sini mencadangkan supaya projek Perumahan Inklusif MADANI dapat dibina di lokasi yang strategik dan telah matang berbanding di kawasan yang sedang membangun. Katanya, ini membolehkan penghuni tinggal di kawasan yang telah mempunyai kemudahan seperti pengangkutan awam, sekolah, hospital dan jalan raya besar, selain padang dan taman permainan.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

"Saya juga memohon supaya had pendapatan bagi kelayakan pemohon diturunkan bagi membantu golongan sasar di bandar.


"Selain itu, kita juga sedia maklum kebanyakan rumah mampu milik akan ada masalah penyelenggaraan. Jadi saya harap dengan adanya projek ini dapat meningkatkan kualiti penyelenggaraan terutama bangunan bertingkat seperti kemudahan lif dan infrastruktur awam," katanya kepada Bernama.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin lepas berkata projek rintis Perumahan Inklusif MADANI akan dibangunkan untuk golongan sasar di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.


Menurut Anwar, pembinaan itu melibatkan 800 unit rumah dengan pelbagai saiz ruang lantai bagi menampung keperluan golongan sasar yang berbeza.


Dalam pada itu, pekerja p-hailing Mohamad Naufal Mohamad Idris, 35, dari Shah Alam, Selangor berharap insentif perumahan baharu yang diperkenalkan kerajaan itu dapat menawarkan rumah dengan harga berpatutan.


Beliau yang masih belum memiliki rumah sendiri berkata walaupun kebanyakan rumah mampu milik yang ditawarkan kerajaan negeri di bawah RM300,000 menerusi projek Rumah SelangorKu dan Rumah Idaman, jumlahnya agak terhad.


"Saya berharap proses mendapatkan dan membeli rumah juga dipermudah kepada pekerja dalam sektor gig ekonomi ini berikutan jumlah pendapatan yang diperoleh setiap bulan tidak tetap, ini menyukarkan kami untuk mendapatkan rumah sendiri," katanya.


Pekerja swasta Yunus Yakkub, 40, dari Lembah Jaya Utara, Ampang pula mencadangkan projek perumahan berkenaan dilengkapi dengan perabot asas seperti kabinet dapur dan mesin basuh sebagai nilai tambah bagi membantu meringankan beban pembeli.


Bagi pekerja syarikat telekomunikasi di George Town, Pulau Pinang Raymond Lee, 30, beliau tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan kediaman pertamanya menerusi projek rintis itu.


"Kalau tanya sesiapa sahaja memang ramai yang menunggu projek seperti ini sebab perumahan di kawasan bandar memang susah untuk dibeli kerana harganya yang tinggi," katanya.


Sementara itu, pekerja kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang Rosniza Ahmad Rosli, 28, berharap Skim Sewa untuk Beli dapat diperluas di negeri itu terutama di kawasan sektor perkilangan supaya mereka dapat memiliki rumah menerusi skim berkenaan.


Beliau yang masih bujang dan menyewa bersama rakan sekerja itu berkata cadangan berkenaan dapat membantu lebih ramai golongan muda memiliki rumah sendiri kerana kos pembayaran bulanan yang lebih murah serta peluang untuk membeli kediaman membabitkan gaji kategori B40.


Menerusi pembentangan KSP RMK12 itu juga, Anwar berkata Skim Sewa untuk Beli akan diperluas bagi membolehkan lebih ramai kumpulan sasar dapat memiliki rumah.


Sumber: Astro Awani


Perumahan Inklusif MADANI diharap tawar kelainan


9 views

Comments


bottom of page