top of page

Pertimbang pemberian vaksin penduduk berhampiran Rapid Pengerang



KOTA TINGGI: Petronas diminta mempertimbangkan pelaksanaan vaksinasi melibatkan penduduk di dua buah kampung berhampiran projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang di sini.


Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelaksanaan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu boleh dilakukan selepas semua kakitangan Petronas selesai mengambil suntikan masing-masing melalui pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) industri pertama bagi sektor minyak dan gas negara di kawasan berkenaan.


Katanya, Kampung Pengerang dan Kampung Lepau adalah penempatan yang tidak terlibat dengan perpindahan susulan pembangunan yang berlaku dan terletak paling hampir dengan projek tersebut dan kini didiami kira-kira 400 penduduk.


“Saya memahami fokus Petronas kepada pekerja industri sebab mereka saling berhubung setiap hari tetapi kita juga tidak boleh nafikan hubungan pekerja dengan masyarakat luar yang sentiasa berhubung rapat dari segi jual beli makanan, barang runcit, perbankan.


“Jadi saya harap kalau ada lebihan vaksin, kerajaan boleh ambil kira sekali masyarakat setempat berdekatan dengan industri sekiranya hendak wujudkan imuniti kelompok, mereka di luar juga kena main peranan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.


Terdahulu, Azalina yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat melawat kemudahan PPV industri berkenaan bagi meninjau pelaksanaan operasi hari pertamanya.


Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Datuk Ir. Syed Sis Syed Abdul Rahman dan Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Refinery and Petrochemical Corporation Sdn. Bhd, Kamal Bahrin Ahmad.


Seramai 4,000 kakitangan Petronas Rapid di Pengerang bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi pembukaan PPV industri tersebut.


Sementara itu jelas Azalina, pihaknya memahami kekangan keselamatan orang ramai yang tidak boleh keluar masuk ke kawasan projek berkenaan selain mencadangkan agar vaksinasi untuk penduduk dilakukan pada waktu malam.


“Jika boleh pihak Petronas dapat mempertimbang beri kepada warga emas di dua buah kampung ini dahulu. Jika Petronas boleh mempertimbangkan sebagai CSR, sukarelawan saya boleh bawa mereka berusia 60 tahun ke atas ke sini.


“Kita dapati ada di antara penduduk ini yang mendaftar AstraZeneca dan perlu ke Johor Bahru yang jauhnya 150 kilometer dengan kekangan satu kenderaan dua orang.


“Saya harap Petronas akan mempertimbangkan penduduk yang berada berhampiran projek pembangunan pada hari ke sembilan atau sepuluh program vaksinasi di sini dan sekiranya


Kementerian Kesihatan ada lebihan vaksin,” katanya.


Sementara itu Kamal Bahrin berkata, proses pemberian vaksin itu akan berlangsung selama 10 hari bermula hingga 26 Jun ini di mana melalui program pada hari pertama itu melibatkan seramai 467 kakitangan pelbagai jawatan.


“Kami berbesar hati kerana Petronas dipilih Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menjadi projek rintis PPV industri. Saya percaya langkah ini akan membantu usaha kerajaan dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.


13 views

Comments


bottom of page