KUCHING: Lebih banyak pihak korporat, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) disarankan untuk mengambil bahagian dalam projek pengindahan bandar raya Kuching.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia termasuk menaik taraf serta mengindahkan kawasan tanah lapang serta bulatan jalan raya supaya lebih mesra penduduk.
“Dalam memastikan usaha kerajaan membangunkan lebih banyak kawasan pintar dan cantik, saya mengajak lebih ramai lagi badan korporat dan NGO untuk mengambil bahagian membangunkan kawasan lapang di seluruh bandar raya Kuching.
“Ia terutamanya kawasan lapang di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang boleh kita bangunkan dan indahkan bersama,” katanya.
Adun Pantai Damai itu berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) antara DBKU dengan Unimas Holdings Sdn Bhd untuk membangunkan Taman Permainan Pendidikan Taman Heritage Petra Jaya, di sini, kelmarin.
Menurutnya, pihak berkaitan boleh terlibat untuk membangunkan kawasan lapang yang terletak berhampiran kediaman penduduk, berdekatan jalan raya utama dan merupakan tempat awam.
“Sebagai contoh bulatan berhampiran Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah dan bulatan berdekatan Medan Hamidah, Jalan Bako.
“Ini merupakan projek yang DBKU masih menunggu sekiranya terdapat pihak NGO mahupun korporat berminat untuk membangunkan dan mengindahkannya demi manfaat kita bersama,” ujarnya.
Sementara mengulas mengenai MoU tersebut, katanya, ia merupakan usaha sama keempat pihak DBKU bersama badan korporat dalam usaha mengindahkan taman serta kawasan di bawah pentadbirannya.
“Sebelum ini kita bekerjasama dengan syarikat untuk meningkatkan landskap keindahan bulatan Samariang, seterusnya projek pengindahan bulatan Sesco bersama Sarawak Energy dan ketiga, kita membina taman permainan mesra kanak-kanak.
“Projek keempat bersama Unimas ini pula kita membangunkan serta menaik taraf kawasan tanah lapang berhampiran Taman Heritage sebagai kawasan rekreasi dan riadah yang moden dengan menerapkan elemen pendidikan.
“Ia juga bertujuan meningkatkan keselamatan serta kecantikan bandar, sejajar dengan konsep DBKU untuk menjadikan bandar raya Kuching selamat, cantik, pintar dan lestari,” tambahnya.
Beliau turut berharap lebih banyak program seumpamanya dapat dianjurkan pada masa hadapan bersama-sama pihak Unimas. MoU ditandatangani Pengarah DBKU Mohamed Khaidir Abang dan Pengurus Besar Unimas Holding Sdn Bhd, Dr Abang Ekhsan Abang Othman.
Majlis turut disaksikan Pengerusi Interim Unimas Holding Sdn Bhd Datu Mohd Fadzil Abd Rahman dan Dekan Fakulti Sains Kognitif Dan Pembangunan Manusia Unimas, Amalia Madihie.
Sumber: Sarawak Voice
Comments