Seremban: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sudah melantik kontraktor bagi melaksanakan kerja baik pulih mendapan di Lorong A40, Precint 4, Bandar Warisan Puteri, dekat Sikamat, di sini.
Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, kerja baik pulih mendapan berkenaan dijangka bermula awal tahun ini selepas mendapat peruntukan.
"Pihak MBS sudah melantik kontraktor secara rundingan terus bagi kerja baik pulih mendapan tanah di taman perumahan berkenaan. Rekaan bagi kerja berkenaan juga sudah disiapkan.
"Bagaimanapun, selepas membuat kajian, pihak kami mendapati kerja baik pulih memerlukan dinding penghadang khas sekali gus menaikkan jumlah kos yang perlu ditampung," katanya ketika dihubungi.
Semalam, Harian Metro melaporkan aduan penduduk mengenai kejadian tanah mendap di Lorong A40, Precint 4, Bandar Warisan Puteri, dekat Sikamat, di sini, yang belum menunjukkan sebarang tanda baik pulih walaupun sudah lebih setahun berlalu.
Kejadian pada 9 Oktober 2022 itu menyebabkan longkang, laluan pejalan kaki dan sebahagian jalan yang hanya kira-kira tiga meter dari rumah penduduk mendap ketika hujan lebat kira-kira jam 4.30 petang.
Masri berkata, sehingga kini pihak mendapati anggaran kos bagi kerja baik pulih mendapan tanah itu mencecah lebih RM1 juta.
"Sebelum ini kami bercadang untuk memasang dinding penghadang biasa dengan peruntukan yang ada namun ia tidak sesuai dan memerlukan kos tiga kali ganda bagi menampung kos dinding penghadang khas," katanya.
Beliau berkata, meskipun kerja baik pulih belum dijalankan, pihaknya sentiasa memantau lokasi kejadian bagi memastikan ia tidak berisiko kepada penduduk.
"Pihak MBS bukan buat tidak tahu atau tidak mengambil apa-apa tindakan.
"Sebelum ini kami sudah beberapa kali ke lokasi untuk mengumpul maklumat dan sampel tanah bagi memastikan kerja baik pulih kelak berbaloi dan bermutu.
"Kami memang pantau dari semasa ke semasa. Kerja baik pulih dijangka awal tahun ini dan meminta penduduk supaya bersabar," katanya.
Sumber: Harian Metro
Perlu dinding penghadang khas
Comentarios