top of page

Perbandaran lestari terbesar di Malaysia guna sistem PV


Lagenda Properties membangunkan perbandaran lestari untuk kumpulan pendapatan B40 dan M40

KUALA LUMPUR: Lagenda Properties Bhd melantik Solarvest Holdings Bhd (Solarvest) sebagai rakan kongsi sistem solar fotovoltaik (PV) bagi pembangunan perbandaran mampu milik lestari terbesar di Malaysia.


Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua syarikat berkata sebagai permulaan, Solarvest akan memasang sistem solar PV di 1,000 kediaman di tiga projek perbandaran yang dibangunkan Lagenda Properties di Perak.


"Pemasangan solar PV ini selaras dengan Program Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dengan sistem ini mampu menjana sehingga 98 peratus penggunaan elektrik bulanan.


"Memandangkan tenaga solar semakin menjadi daya tarikan di Malaysia, permintaan untuk kediaman bertenaga solar meningkat dan semakin ramai rakyat Malaysia menghabiskan masa bekerja di rumah.


"Idea untuk memiliki kediaman mesra alam yang mengimbangi bil utiliti dan jejak karbon menjadi semakin menarik kepada pembeli rumah, lebih-lebih lagi memberi faedah kepada ekonomi dan meningkatkan potensi nilai kediaman," katanya.


Menurut kenyataan itu, apabila 1,000 kediaman terpilih dipasang solar PV, ketiga-tiga projek perbandaran itu berpotensi menjana kira-kira 2.8 jam gigawatt (GWh) tenaga bersih yang meneutralkan sekitar 1,950 tan pelepasan karbon setiap tahun.


Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh Jee Ming, berkata perbandaran lestari yang dimajukan pemaju hartanah itu direka untuk memenuhi keperluan kumpulan pendapatan B40 dan M40.


"Kami melihat banyak isi rumah menghadapi cabaran kenaikan bil elektrik selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ini mendorong kami untuk mencari jalan penyelesaian alternatif.


"Panel solar mampu menurunkan suhu rumah dan menghasilkan tenaga elektrik sepanjang tahun. Dengan kerjasama dengan Solarvest, kami dapat memanfaatkan skala ekonomi untuk memberikan nilai terbaik kepada pembeli rumah.


"Dengan penjimatan daripada bil utiliti dalam jangka masa panjang, pembeli rumah Lagenda Properties akhirnya akan menikmati kos sara hidup yang lebih rendah, menambah daya tarikan dan kemampuan projek kami," katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, kerjasama dengan Lagenda Propeties menjadi anjakan kepada syarikat itu untuk mengembang perniagaan dalam pasaran hartanah.


"Ini juga menjadi projek solar kediaman terbesar kami dan menjadikannya lebih bermakna.


"Menerusi projek ini, kami akan memberi akses kepada masyarakat tempatan kepada tenaga hijau secara langsung dan pada masa yang sama membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pergerakan sifar bersih dari rumah," katanya.


Sumber: Berita Harian

Comments


bottom of page