top of page

Perbadanan M-WEZ elak kegagalan projek terdahulu


Gambar hiasan

MELAKA: Penubuhan Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) adalah perlu bagi memastikan penyelarasan pelaburan dan aktiviti pembangunan di sekitar koridor berkenaan.


Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, oleh kerana tiada kerjasama antara pentadbiran terdahulu dengan pihak konsultan bagi projek Melaka Gateway, menyebabkan ia tidak dapat dilaksanakan.


Menurut beliau, kerja-kerja tambakan laut bagi projek itu juga hanya tertumpu kepada penambakan laut semata-mata tanpa perancangan pembangunan yang komprehensif.


“Daripada 3,279 ekar kawasan yang ditambak, hanya 268 ekar sahaja yang dibangunkan. Jaringan jalan raya dan sistem saliran tidak dapat dibuat secara menyeluruh kerana banyak pihak yang menjalankan kerja-kerja di sana, selain tiada agensi khusus yang bertanggungjawab menyelaraskan pembangunan.


“Justeru, saya berpandangan terdapat keperluan untuk menubuhkan Perbadanan M-WEZ bagi merancang dan memantau pembangunan di kawasan ini demi mengurangkan kegagalan terhadap projek sebelum ini.


“Sesiapa sahaja yang memohon untuk projek tambak laut mesti disertakan sekali perancangan dan tempoh masa pembangunan,” katanya ketika menggulung usul Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Perbadanan Zon Ekonomi Pesisiran Pantai (Negeri Melaka) 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) berhubung keperluan menubuhkan Perbadanan M-WEZ.


Adly yang juga Ketua Pembangkang ketika berbahas, mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri menubuhkan perbadanan baharu sedangkan peranan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) boleh diperkasa.


3 views
bottom of page