top of page

Peraturan urus sisa binaan, industri dikuatkuasa tahun depan


Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Peraturan khusus bagi pengurusan sisa pepejal sektor pembinaan dan perindustrian, komersial serta keinstitusian (ICI) akan dikuatkuasakan secara menyeluruh bermula tahun depan.


Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek, berkata usaha itu adalah ke arah menzahirkan impian Malaysia menjadi sebuah negara bersih dan indah selaras Dasar Kebersihan Negara.


Katanya, Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal Pembinaan yang diwartakan pada 1 November 2018 akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Januari 2020 membabitkan tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672 iaitu Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perlis, Kedah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Selain itu, katanya peraturan pengurusan sisa dari sektor ICI yang diwartakan pada 1 Ogos 2018 pula akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Mac 2020.

“Dengan penguatkuasaan dua peraturan baharu ini, maka wujudlah Prosedur Operasi Standard (SOP) jelas untuk pengurusan sisa dari sektor pembinaan dan sektor ICI. Sebelum ini tiada SOP jelas, maka mereka hanya menguruskan mengikut apa yang difahami.


“Dengan adanya peraturan ini, ia memberikan satu garis panduan kepada kontraktor atau pemaju untuk menguruskan sisa binaan berdasarkan aturan yang disediakan.


“Sebagai contoh, mereka asingkan sisa binaan seperti kayu dan bekas simen, yang mana ada sesetengah daripadanya boleh digunakan untuk dikitar semula dan tidak perlu dibuang di tapak pembinaan. Kita yakin dengan pelaksanaan peraturan ini, akan mengurangkan jumlah sisa binaan yang dibuang ke tapak binaan.


“Mengikut data yang diperoleh daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) jumlah sisa binaan bagi tahun ini iaitu setakat Oktober lalu adalah 5.7 juta tan, bayangkan jika ia tidak diuruskan secara efektif dan efisyen sudah tentu akan memberi kesan buruk,” katanya.


Mohammad berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pengiktirafan Perkhidmatan Skim Terbaik 2019 dan Promosi Penguatkuasaan Peraturan Sisa Binaan, Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian di sini.


Dalam pada itu, beliau berkata, pengiktirafan Perkhidmatan Skim Terbaik adalah program tahunan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang diberikan kepada syarikat konsesi yang berjaya melaksanakan perkhidmatan kutipan dan pembersihan awam secara efisien, pemantauan penguatkuasaan dan pembudayaan kitar semula yang efektif.


“Pelaksanaan penilaian pengiktirafan dijadikan sebagai satu penanda aras bagi skop perkhidmatan kutipan dan pembersihan awam di sesebuah kawasan perkhidmatan.


“Pelaksanaan program ini dapat meningkatkan sikap daya saing dalam melaksanakan gerak kerja antara syarikat konsesi dan SWCorp bagi mencapai kriteria yang ditetapkan dalam aspek penilaian.


“Sebanyak sembilan daripada 114 skim perkhidmatan telah disenarai pendek dan hanya tiga skim perkhidmatan terbaik saja yang disenarai pendek,” katanya.


Pada majlis itu, Skim KDAS01 (Alor Setar, Kedah) dinobatkan sebagai johan apabila diiktiraf sebagai skim terbaik bagi 2019, diikuti Skim PHRM01 (Rompin, Pahang) bagi naib johan, manakala tempat ketiga diraih JHMR01 dari Muar, Johor.



255 views
bottom of page