top of page

Peranan lebih besar swasta sedia rumah mampu milik


Peranan lebih besar swasta sedia rumah mampu milik

SEMENYIH: Kerajaan akan memperkenalkan model baharu penswastaan, yang akan menyaksikan penyertaan lebih besar sektor swasta untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.


Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, di bawah model baharu itu, penyediaan rumah mampu milik bukan tertakluk semata-mata kepada tanggungjawab kerajaan, malah sektor swasta perlu turut serta merealisasikan di samping mewujudkan rantaian aktiviti ekonomi domestik.


Katanya, pembinaan rumah mampu milik adalah antara agenda penting di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kerana tempat tinggal adalah salah satu keperluan asas dalam sebuah masyarakat bertamadun.


“Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 100,000 unit rumah mampu milik dibina setiap tahun dan dalam tempoh 10 tahun akan datang, sejuta unit rumah siap dibina.


“Oleh itu, kerajaan bercadang supaya model baharu penswastaan dapat diperkenalkan bagi menjamin prinsip tadbir urus dan bernilai tinggi dalam menarik pihak swasta untuk memainkan peranan yang lebih efektif,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Simfoni Rumah SelangorKU @EcoMajestic di sini, hari ini.

Majlis penyerahan kunci itu membabitkan 870 rumah berkeluasan 750 kaki persegi seunit yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik mandi berharga RM100,000.


Hadir sama, Pengerusi EcoWorld Malaysia, Tan Sri Liew Kee Sin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah.


Semasa menjadi Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin menjuarai Dasar Perumahan Negeri Selangor yang bermatlamat merealisasikan matlamat 'Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna', dikenali sebagai Rumah SelangorKU.


Ini adalah bagi memastikan setiap rakyat atau keluarga mempunyai tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami, menerusi penyertaan oleh syarikat-syarikat swasta.


Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini sedang merangka beberapa inisiatif bersama institusi kewangan untuk memperkenalkan skim perumahan baharu untuk golongan B40.


Katanya, selain memberi penekanan mengenai akses kepada golongan terbabit untuk memiliki rumah, ia turut tertumpu kepada isu seperti pembayaran balik pinjaman perumahan.

“Usaha sedemikian sedang giat dilaksanakan memandangkan berdasarkan indeks tahap ketidakmampuan untuk memiliki rumah oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan peningkatan kepada lima peratus pada 2016 berbanding 4.1 peratus pada 2002,” katanya.


Katanya, pemain industri hartanah perlu meneroka penggunaan teknologi disruptif dalam mentransformasi sektor perumahan negara, selain dapat menambah baik kehidupan rakyat negara ini.


Antara teknologi yang dimaksudkan adalah seperti kecerdasan buatan (AI), analisis data besar, teknologi blockchain, dron dan perkhidmatan e-dompet.


Sumber: Berita Harian


9 views
bottom of page