top of page

Peranan Jepun dalam Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor dapat pujian


Loji Rawatan Air Langat 2.- NSTP/Supian Ahmad.

KUALA LUMPUR: Peranan utama Jepun dalam pembinaan projek terowong air mentah dari Pahang ke Selangor yang bernilai berbilion ringgit mendapat pujian daripada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar.


Dua syarikat Jepun yang terbabit bukan sahaja menyediakan teknologi pengorek terowong terkini untuk terowong sepanjang 44.6 kilometer (km) yang juga terpanjang di Asia Tenggara, malah Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) juga menambah pinjaman mudah bernilai 82 bilion yen (kira-kira RM3 bilion) yang dibayar selama lebih 40 tahun untuk projek itu.


“Teknologi Jepun membantu kami melalui JICA dan pembiayaannya serta pelaksanaannya dengan syarikat pembinaan tempatan. Kini, kami menyalurkan air dan ini juga menggambarkan hubungan kerja yang baik antara Jepun dengan Malaysia dan industri air,” kata Jayakumar kepada Bernama sempena penyerahan rasmi operasi Stream B Loji Rawatan Air Langat 2 di Hulu Langat, Selasa lalu.


Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM4.2 bilion untuk pembinaan loji Langat 2 yang mampu membekalkan 1,130 juta liter air sehari (MLD) kepada hampir dua juta orang di Lembah Klang apabila siap sepenuhnya pada 2023. Stream B Langat 2 yang siap baru-baru ini bersedia untuk membekalkan 565 MLD air kepada hampir 900,000 orang di Hulu Langat, Cheras, Bangi, Semenyih dan kawasan Pudu.


Jayakumar berkata, kementeriannya kini merancang projek yang sama di kawasan lain khususnya dalam menyalurkan air dari sesuatu jarak ke kawasan yang memerlukan.


“Jadi, dengan perjanjian bersama kerajaan Jepun dan jumlah wang yang dipersetujui, semua telah selesai dan kini air sudah disalurkan. Ini adalah kerjasama baik antara dua negara menerusi agensi kerajaan dan sektor swasta untuk merealisasikannya,” katanya.


Beliau juga berkata, rakyat Malaysia sentiasa belajar daripada masyarakat Jepun dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga terus merujuk Jepun untuk teknologi dan kaedah baharu dalam melakukan sesuatu perkara selain etika kerja dan budaya perniagaan mereka.


Katanya, Jepun juga menawarkan kira-kira 10 ke 15 pegawai Malaysia untuk ke Jepun bagi mempelajari bagaimana mereka menguruskan sistem air bawah tanah mereka sejajar dengan rancangan Malaysia untuk memanfaatkan air bawah tanah.


“Jadi, kami akan menghantar pegawai ini ke Jepun selama enam bulan atau setahun. Ia sudah dipersetujui dan akan menghantar pegawai kami tidak lama lagi ke sana untuk belajar bagaimana mereka melakukannya,” kata Jayakumar.


Duta Jepun di Malaysia, Hiroshi Oka yang turut hadir pada majlis penyerahan loji rawatan air itu berkata, kepentingan projek itu lebih difahami apabila anda membawa air mentah dari Pahang ke loji rawatan air Langat 2. Jadi, menerusi kerjasama dengan kerajaan Malaysia, kerajaan Jepun dengan sokongan JICA, membina dahulu sebuah empangan dan juga terowong air yang sangat panjang ke loji Langat 2 ini.


“Sebenarnya, terowong air ini adalah yang terpanjang di rantau ASEAN. Projek ini sangat luar biasa dan kami gembira menjadi sebahagian daripada projek ini,” kata Oka.


Sementara itu, Ketua Perwakilan JICA Malaysia, Fukawa Kensuke berkata, projek ini melambangkan usaha Jepun dalam melaksanakan projek infrastruktur berkualiti bagi meningkatkan kehidupan rakyat Malaysia dalam semua bidang.


Dua syarikat Jepun iaitu, Shimizu dan Nishimatsu yang terbabit dalam pembinaan terowong manakala satu lagi syarikat, Hazama bagi pembinaan stesen pam.


“Penerima manfaat adalah rakyat, bukan sahaja isi rumah tetapi juga industri, syarikat dan kilang serta pengeluar pertanian. Ia sekali gus memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia,” katanya.– BERNAMA



9 views
bottom of page