KUALA LUMPUR: Penutupan beberapa lebuh raya utama oleh MMC-GAMUDA dilanjutkan untuk tempoh 81 hari bagi tujuan pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) Putrajaya.
MMC-GAMUDA dalam satu kenyataan, memaklumkan penutupan dari 27 Jun hingga 15 September itu membabitkan beberapa kawasan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban (arah utara), Lebuhraya Bukit Jalil, Sungai Besi, Pekan Sungai Besi dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Susur keluar atau masuk di Lebuhraya KL-Seremban ditutup secara berkala sepanjang 300 meter, oleh itu pengguna dari Bulatan Lumba Kuda menuju ke arah Lebuhraya KL-Seremban boleh menggunakan susur keluar ke Bukit Jalil.
"Penutupan sepanjang Lebuhraya Bukit Jalil dan pengaktifan laluan kontra ke arah Bulatan Lumba Kuda dilanjutkan ke tempoh itu. Semasa penutupan 300 meter di lorong kanan itu, satu lorong kiri akan disediakan kepada pengguna di kedua-dua arah.
"Semasa penutupan dua lorong kiri (Arah Bukit Jalil) dan satu lorong kiri (Arah Bulatan Lumba Kuda), laluan kontra akan disediakan kepada pengguna yang ingin ke Bukit Jalil dari Bulatan Lumba Kuda," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, di hadapan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sungai Besi, pengguna dari Lebuhraya BESRAYA menuju ke Pekan Sungai Besi dan MRR2 akan melalui lencongan jalan sepanjang 100 meter, ke laluan bawah stesen MRT.
Di Pekan Sungai Besi, penutupan penuh jalan secara berkala membabitkan Jalan Suasa 2 dan 3, menyaksikan pemandu dari MRR2 dilencongkan ke laluan kontra di Jalan Pekan Sungai Besi menggunakan Jalan Suasa.
"Satu lorong akan disediakan kepada pengguna dari Lebuhraya BESRAYA menuju ke MRR2. Satu simpang ke kanan akan disediakan untuk menggunakan laluan kontra di Jalan Suasa bagi menghala ke Jalan Suasa 3, dan pengguna boleh menggunakan lorong sedia ada untuk menghala ke MRR2," menurut kenyataan itu.
Penutupan jalan secara berkala sepanjang 400 meter pula dilaksanakan di kedua-dua arah di MRR2. Dua lorong kiri di kedua-dua arah Shah Alam dan Cheras akan ditutup, manakala satu lorong kanan akan disediakan kepada pengguna.
Dalam pada itu, penutupan penuh bagi simpang masuk dan keluar ke 8trium dan Decathlon melalui Jalan Cempaka di Bandar Sri Damansara dilanjutkan dari 27 hingga 28 Jun bagi tujuan kerja-kerja mengangkat jambatan utiliti dan sebarang kerja berkaitan. – BERNAMA
Sumber: Berita Harian
Comments