top of page

Penjualan Fasa 1 Rumah Selangorku mendapat sambutan


KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Projek Rumah Selangorku Fasa 1 (subfasa 1A) yang bakal dibina oleh MK Land Holdings Berhad di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, telah habis dijual sebelum pelancaran rasmi jualannya Sabtu lepas.


Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, MK Land Holdings Berhad, K Mohanachandran berkata, Projek Rumah Selangorku di Taman Bunga Raya dibangunkan bagi menyahut permintaan ramai untuk menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat.


“Kami ingin membantu rakyat negeri Selangor secara khususnya, untuk memiliki rumah mereka sendiri daripada menyewa, di mana sewanya tertakluk kepada harga pasaran yang turun naik,” katanya.


Katanya, subfasa 1A adalah di antara empat subfasa dan kesemua unit fasa 1A telahpun dikenal pasti pemiliknya dan disebabkan permintaan yang amat memberangsangkan, pendaftaran untuk subfasa fasa 1C juga telah dibuka hari ini.


“Antara faktor utama pembeli memilih kawasan ini kerana harga berpatutan, reka bentuk menarik, kos penjimatan binaan disalur semula ke Rumah Selangorku untuk meningkatkan kualiti rumah, lokasi strategik dan fasiliti yang disediakan,” katanya.


Sementara itu, Pengurus Besar Kanan MK Land, Zulkipli Sidin berkata, subfasa 1A terdiri daripada 109 unit rumah teres dua tingkat jenis D yang berharga RM250,000 seunit manakala subfasa 1C berjumlah 101 unit rumah teres jenis D juga.


“Subfasa 1A ini dijangka siap untuk diserahkan kunci pada Januari 2021 dan keseluruhan 1,385 unit projek Rumah Selangorku ini akan mengambil masa selama lebih kurang tujuh tahun untuk siap sepenuhnya,” katanya.


Untuk memuat turun borang pendaftaran subfasa 1C, layari http://ehartanah.lphs.gov.my/lphs.


Sumber: Bernama


35 views
bottom of page