top of page

Pengurusan projek pembangunan PPS tidak capai sasaran


Perpustakaan Awam Selangor, Shah Alam

SHAH ALAM 15 Julai - Pengurusan projek pembangunan perpustakaan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dilaksana dengan kurang cekap dan tidak mencapai sasaran seperti yang ditetapkan dalam Pelan Strategik PPAS 2016-2020.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, hanya 14 projek atau 50 peratus daripada 28 projek pembangunan perpustakaan yang dirancang pada 2016 hingga 2018 telah selesai dilaksanakan.


“Selain itu, lima projek masih di peringkat pelaksanaan dan mengalami kelewatan penyiapan berbanding jadual asal dengan kemajuan kerja sebenar di tapak ialah antara 36 peratus hingga 96 peratus.

“Sehingga Disember 2018, sembilan projek atau 32.1 peratus projek yang dirancang untuk dilaksanakan di bawah Pelan Strategik PPAS masih belum dimulakan dan masih di peringkat perancangan,” menurut laporan berkenaan.


Laporan itu menyatakan menerusi pemeriksaan fizikal di lokasi, didapati 22 butiran kerja yang ditetapkan dalam ‘Bill of Quantity’ melibatkan kos sebanyak RM27,708 tidak dilaksanakan oleh kontraktor namun tiada pemotongan bayaran dilakukan.


Tambah laporan itu, terdapat juga kelemahan dalam aspek perancangan, pelantikan perunding, pentadbiran kontrak, pelaksanaan dan pemantauan projek serta pengurusan bayaran yang menjejaskan kecekapan pengurusan projek pembangunan perpustakaan awam.


Bagi mengatasi kelemahan itu, laporan berkenaan mengesyorkan PPAS supaya memastikan pelaksanaan projek pembangunan perpustakaan awam di bawah Pelan Strategik PPAS dirancang dengan teliti, mengambil kira risiko tempoh pelaksanaannya dan mewujudkan satu mekanisme efektif untuk kecekapan pemantauan.


Selain itu, laporan berkenaan juga mengesyorkan PPAS meningkatkan pemantauan serta memberikan latihan berterusan dan sesuai kepada pegawai yang bertanggungjawab selain melantik kakitangan teknikal berkelayakan untuk mengurus dan melaksanakan projek pembangunan perpustakaan PPAS.


Sementara itu, laporan audit berkenaan mendedahkan sebanyak 125 beg sekolah bernilai RM5,625 yang sepatutnya diberikan kepada ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang diuruskan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), melalui Program Bantuan Masuk Sekolah (PBMS) tahun lepas, gagal dikesan.

Laporan itu menyebut, sebanyak 2,638 beg sekolah bernilai RM118,710 juga masih belum diserahkan kepada penerimanya.


“Pihak pembekal beg sekolah lewat membuat penghantaran beg sekolah ke semua Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan tempoh kelewatan adalah antara empat hingga 19 hari dari tarikh pembekalan sepatutnya disempurnakan.


“Surat tawaran kepada syarikat pembekal menetapkan tempoh siap pembekalan hendaklah dibuat 45 hari dari tarikh pesanan, stok bantuan kemasukan ke sekolah sepatutnya dibekalkan ke DUN dengan segera oleh pembekal supaya pengagihan kepada ahli TAWAS dapat dibuat sebelum sesi persekolahan 2019.


“Pengagihan bantuan beg sekolah ini lewat dibuat. Sehingga 31 Disember 2018, hanya 33.2 peratus iaitu 6,635 daripada 20,000 beg berjaya diagihkan kepada ahli TAWAS,” katanya.


Laporan itu turut mendapati tiada kontrak perjanjian dibuat antara pihak YAWAS dengan pihak pembekal bagi perolehan beg sekolah selain pembayaran deposit sebanyak 50 peratus diberikan kepada pembekal sebelum sebarang pembekalan diterima.


Sehubungan itu, laporan audit berkenaan mengesyorkan YAWAS mengambil langkah proaktif dan berkesan bagi menangani kelemahan yang dibangkitkan iaitu dengan mewujudkan mekanisme pemantauan berterusan terhadap stok beg sekolah yang masih belum diagihkan bagi memastikan tidak berlaku kehilangan.


YAWAS juga disyorkan supaya memastikan kontrak perjanjian perolehan PBMS disediakan bagi memastikan kepentingan yayasan itu terpelihara sekiranya bayaran pendahuluan dibuat sebelum pembekalan diterima, ujar laporan tersebut. - BERNAMA



10 views
bottom of page