top of page

Pengurusan dana SKWAK bertukar kementerian


KUALA LUMPUR: Pengurusan dana Skim Kumpulan Wang Amanah Kontraktor (SKWAK) dipindahkan sepenuhnya daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) ke Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), bermula hari ini.


MED dalam satu kenyataan berkata, dana SKWAK bertujuan membantu kontraktor Bumiputera Gred G1 sehingga G5 mendapatkan modal bagi memulakan projek.


“Bantuan SKWAK yang diberi adalah wang pendahuluan berbentuk pinjaman tanpa faedah untuk kontraktor Bumiputera yang mendapat kerja kontrak Persekutuan.


“Jumlah pendahuluan ditentukan berdasarkan merit setiap kes, tertakluk kepada jumlah maksimum 25 peratus nilai kerja pembina,” kata kenyataan itu.


Menurut MED, permohonan SKWAK boleh dikemukakan di semua pejabat cawangan BPKU negeri dan pembayaran akan dilaksanakan oleh Ibu Pejabat BPKU selepas permohonan diluluskan.


Semua kontraktor Bumiputera berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan memiliki Sijil Taraf Bumiputera yang aktif layak memohon wang pendahuluan SKWAK.


Bagi memastikan kontraktor Bumiputera diberi faedah optimum melalui inisiatif SKWAK, modal dan tenaga pengurusan syarikat mesti 100 peratus dimiliki dan dikuasai Bumiputera.


Oleh itu, mana-mana kontraktor Bumiputera yang memenuhi syarat kelayakan boleh mengemukakan permohonan kepada pejabat BPKU negeri di seluruh negara.


“Melalui skim ini juga, kerajaan berhasrat mendukung agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dalam industri pembinaan, seterusnya melahirkan lebih ramai kontraktor Bumiputera yang mampu bersaing di peringkat nasional,” katanya.


Malah, pembukaan semula pendaftaran Kontraktor Kerja Kelas G1 Bumiputera MED turut mendukung keputusan kerajaan membuka semula pendaftaran kontraktor kelas G1 Bumiputera bermula hari ini, selepas hampir 14 tahun dibekukan.


“Pembukaan semula pendaftaran ini akan menyokong sepenuhnya Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) yang dilancarkan MED dengan matlamat mencapai aspirasi kemakmuran bersama dan menjadikan Malaysia negara yang terus membangun secara mapan, seiring pengagihan ekonomi adil,” katanya.


MED turut mengalu-alukan golongan B40 yang mempunyai pengalaman dan kemahiran asas dalam bidang binaan untuk mendaftar sebagai kontraktor kelas G1 Bumiputera bagi meningkatkan taraf ekonomi, selain menyumbang tenaga dalam melaksanakan kerja ditawarkan kerajaan. – BERNAMA



31 views
bottom of page