top of page

Pengeluar simen perlu perjelas kenaikan harga


Gambar hiasan


GEORGETOWN: Syarikat pengeluar simen terbesar di Malaysia digesa memberi alasan susulan tindakan mereka menaikkan harga barangan itu antara 40 hingga 50 peratus di seluruh negara, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.


Beliau berkata, ia berikutan kenaikan harga terbabit turut mengakibatkan kesan rantaian kepada pelbagai industri lain, khususnya syarikat pemaju perumahan.


Katanya, aduan kenaikan itu sudah dikemukakan kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen, malah pertemuan bagi membincangkan isu terbabit dijangka dibuat minggu depan.


“Kita nak tahu adakah kenaikan ini berpunca daripada impak monopoli apabila syarikat terbabit mengawal 85 peratus pasaran simen negara, selain ia hanya menggunakan bahan tempatan.


“Perkara ini perlu diambil berat dan perhatian serius oleh kerajaan kerana ia hanya memberi keuntungan besar kepada satu atau dua syarikat, sebaliknya memusnahkan lebih banyak industri dan ekonomi negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia ( REHDA) negeri, Datuk Toh Chin Leong serta Pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) negeri, Datuk Dr Ooi Eng Hock.


Sementara itu, Eng Hock berkata, kenaikan harga simen itu memberi kesan peningkatan antara 15 hingga 20 peratus kos pembinaan rumah, selain turut menjejaskan harga jualan kediaman kepada orang ramai.


“Kita tidak pasti apa sebab di sebalik kenaikan harga simen ini. Tambahan pula, simen dijual dengan harga RM9 permeter padu (m3) ketika nilai mata wang negara sedang jatuh pada paras RM4.40 bagi AS$1


“Bagaimanapun, kini simen dijual sehingga RM16 per m3, sedangkan nilai mata wang negara sudah semakin kukuh. Ini antara lain akan menjejaskan harga jualan rumah mampu milik di negara ini,” katanya.



33 views
bottom of page