top of page

Penentusahan alat timbang, sukat elak penipuan, kemalangan



Kuala Lumpur: Alat timbang dan sukat yang sudah disahkan pihak berwajib bukan saja dapat mengelak penipuan tapi juga kemalangan terutama membabitkan struktur binaan.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, kegagalan peniaga, pengusaha dan pemaju binaan menentusahkan alat timbang dan sukat yang digunakan mereka untuk aktiviti perdagangan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.


Menurutnya, terdapat beberapa jenis alat timbang dan sukat yang digunakan pemilik atau peniaga dalam urusan perdagangan wajib ditentusahkan, yang terbahagi kepada empat kategori utama iaitu jisim, isipadu, masa dan panjang.


Katanya, bagi kategori alat timbang dan sukat jisim, ia membabitkan timbangan dan sukatan berat seperti alat timbang kenderaan, neraca spring dan alat timbang elektronik, manakala sukat panjang membabitkan antaranya pembaris satu meter yang digunakan peniaga fabrik tekstil dan alat timbang yang dipasang pada loji pengelompokan simen bagi kerja pembinaan.


"Kategori alat timbang dan sukat isipadu pula merangkumi alat dispenser pam minyak di stesen minyak, gas asli (NGV), lori tangki, mesin dispenser air dan silinder kaca, manakala sukat masa antaranya membabitkan perakam masa, meter letak kereta dan jam randik.


"Dalam dunia teknologi serba canggih ketika ini, pelbagai penipuan boleh berlaku dan tidak terkecuali, penipuan dalam alat timbang dan sukat.


"Bagi kerja pembinaan umpamanya, kegagalan kontraktor atau pemaju mendapatkan kelulusan penentusahan pada alat timbang yang dipasang pada loji pengelompokan konkrit bagi menghasilkan gred konkrit dalam kerja pembinaan boleh menjejaskan kestabilan struktur binaan.


"Ia akhirnya mungkin boleh membawa kemalangan seperti kejadian konkrit binaan jatuh sehingga mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.


"Penggunaan alat timbang sukat jenis neraca timbang yang tidak ditentusahkan pula mungkin akan menyebabkan pembeli mendapat barangan yang beratnya tidak tepat dengan harga barangan yang dibayar dan ini sudah tentu akan menganiaya pengguna," katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd (MCM), iaitu syarikat konsesi kerajaan bagi kerja penentusahan semula alat timbang dan sukat di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Rosol berkata, peniaga, pengusaha dan pemaju binaan wajib menentusahkan alat timbang dan sukat digunakan mereka bagi menjamin aktiviti perdagangan yang adil serta selamat untuk pengguna.


"Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang," katanya.


Sumber: Harian Metro


7 views
bottom of page