SHAH ALAM - Tanggal 18 Disember ini, genaplah setahun tragedi banjir terburuk di Selangor yang mengorbankan 25 nyawa dan menyebabkan kemusnahan harta benda bernilai jutaan ringgit.
Mengimbas kembali tragedi itu, tiada siapa menyangka di saat persediaan banjir tertumpu kepada negeri di pantai timur, rupa-rupanya hujan luar jangka yang melanda Lembah Klang telah menyebabkan beberapa kawasan di Shah Alam, Klang dan Hulu Langat dilanda banjir.
Ribuan rumah dan kenderaan ditenggelami banjir. Kos pasca banjir bagi pengurusan sampah, penyelenggaraan jalan dan pengukuhan tebing sungai memperuntukkan belanja yang besar.
Insiden tersebut nyata menggemparkan negara dan telah menarik perhatian banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) juga orang perseorangan dari luar Selangor datang menghulurkan bantuan.
Mangsa banjir, Muhammad Muhadzam Saleh, 32, berkata, sehingga kini dia masih trauma dengan kejadian itu.
“Kejadian tersebut memang di luar jangkaan, mulanya ingatkan hanya hujan biasa tapi air naik sedikit demi sedikit hingga ketinggian mencecah paras semeter. Dalam keadaan panik, sempat juga saya alihkan beberapa barang penting ke atas siling rumah tapi tak sangka siling rumah runtuh. Habis semua dokumen dihanyutkan air.
“Hampir tiga hari rumah ditenggelami banjir namun terpaksa mengosongkan rumah hampir sebulan bagi kerja pembersihan dan membaiki siling runtuh.
“Kos yang terpaksa ditanggung kesan banjir adalah lebih RM25,000 dengan baiki kereta saja mencecah RM10,000,” katanya ketika ditemui pada program penyerahan Kit Misi Bantuan Bencana Sinar Karangkraf Bersama Komuniti di Kampung Kebun Bunga, Batu 3 di sini pada Selasa.
Pada program berkenaan, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin bersama Pengurus Tugas-Tugas Khas, Hashim Anang menyampaikan 50 kit bantuan kepada penduduk kampung berkenaan.
Surau ditutup hampir sebulan
Dalam pada itu, Pengerusi Surau Al-Hassany, Muhd Jannatul Naim Hasan berkata, surau dibangunkan di sini sejak tahun 1986 turut ditenggelami banjir yang terpaksa ditutup hampir sebulan bagi kerja pembersihan dan penyelenggaraan.
“Karpet surau yang baru diganti bulan September sempat dipakai tiga bulan saja sebelum terpaksa dibuang selepas rosak dipenuhi selaput lumpur banjir.
“Disebabkan semua penduduk sibuk membersihkan rumah masing-masing yang teruk dilanda banjir, kerja pembersihan surau hanya dapat dilakukan selepas itu. Hampir sebulan juga surau ditutup dan berjaya dibersihkan sepenuhnya," jelasnya.
Wakil penduduk Kampung Kebun Bunga Batu 3, Azlina Aton pula berharap kerajaan negeri dapat menyediakan projek tebatan banjir yang sempurna di kawasan kampung berkenaan yang terjejas teruk dengan insiden banjir 18 Disember tahun lalu.
Katanya, kawasan ini pernah mengalami banjir buruk pada tahun 1995 dan 2005, namun beberapa inisiatif dilakukan termasuk meninggikan ban telah berjaya mengatasi masalah tersebut sebelum kembali dilanda banjir pada tahun lepas.
“Saya harap kerajaan negeri sediakan tebatan banjir yang betul, dibina tebing konkrit serta sungai dikorek dan diperdalamkan bagi tampung kuantiti air jika berlakunya hujan luar jangka,” ujarnya.
Katanya, kejadian banjir lalu benar-benar menyebabkan penduduk dalam keadaan trauma dan hampir lima malam terpaksa tidur di pusat pemindahan sementara.
“Kerugian yang ditanggung bukannya sikit semuanya mencecah puluhan ribu, ada juga babitkan kehilangan nyawa.
“Penduduk mahukan jaminan penuh melalui langkah tebatan banjir dilakukan sebaiknya bagi mengelak insiden sama berulang,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Comments