top of page

Penduduk mahu projek RTS diteruskan


Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Penduduk di sekitar jajaran pembangunan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor–Singapura, mahu kerajaan meneruskan pembinaannya bagi mengurangkan kesesakan trafik di sekitar pusat bandar.


Mereka juga berharap pembangunan projek itu nanti memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat.


Tinjauan BH di sekitar kawasan jajaran tanah 4.5 hektar di Bukit Chagar di sini, mendapati terdapat dua kawasan parkir berbayar diuruskan swasta selain kawasan tanah kosong diliputi belukar.

Kedua-dua kawasan parkir berkenaan berpagar namun kawasan tanah kosong pula tidak berpagar.


Pekerja swasta, Imran Zabidin, 48, yang sudah 20 tahun menetap di kawasan Bukit Chagar berkata, projek RTS sudah mula kedengaran mahu dibangunkan sejak lima tahun lalu namun khabar mengenainya sepi tidak lama kemudian.


“Inilah antara laluan utama menghubungkan Johor Baharu - Singapura. Penduduk terpaksa berdepan kesesakan pada waktu puncak hari bekerja, hujung minggu, cuti umum serta perayaan.


“Kami berharap projek RTS ini bukan sahaja mengurangkan kesesakan, malah memberi limpahan ekonomi pada masyarakat sekitar menerusi pusat jualan berpusat dan tersusun dengan peluang diberikan kepada penduduk sekitar, ” katanya ketika ditemui BH.


Pembangunan RTS di plot tanah seluas 4.5 hektar di Bukit Chagar kembali menjadi perhatian selepas status tanah berkenaan dilaporkan beberapa portal berita kelmarin.


Laporan itu yang memetik sumber mendakwa tanah yang sebelum ini milik Kerajaan Persekutuan, sudah ditukar milik ke atas nama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor mendapat tahu perkara itu pada 28 Januari lalu.


Sultan Ibrahim semalam dilaporkan mengesahkan tidak pernah dimaklumkan bahawa tanah baginda terbabit dalam pembinaan projek RTS Johor-Singapura, namun berkenan menyerahkan tanah itu kepada kerajaan tanpa kos demi kepentingan rakyat.


Projek berkenaan yang akan beroperasi dari Bukit Chagar di Johor ke stesen Woodlands North di Singapura dijangka mampu membawa hingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah apabila beroperasi.

Sementara itu, pemilik kedai runcit di Taman Kim Teng bersebelahan jajaran RTS itu, N Majeswaran, 62, juga berharap projek berkenaan diteruskan.


“Tengoklah sendiri kesesakan kawasan di sini sangat teruk sekali hari ini sehingga penduduk nak keluar rumah pada setiap hujung minggu pun berfikir banyak kali.


“Diharap RTS dapat menyelesaikan masalah kesesakan di sini dan memudahkan bukan sahaja penduduk malah pengunjung berulang-alik antara Johor Bahru dan Singapura, ” katanya.



41 views
bottom of page