top of page

Pendekkan tempoh kelulusan projek untuk rakyat


Tempoh proses kelulusan projek pembangunan untuk rakyat dipendekkan.
Gambar hiasan: Tempoh proses kelulusan projek pembangunan untuk rakyat dipendekkan.

Tempoh proses kelulusan projek pembangunan untuk rakyat dipendekkan.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tempoh proses kelulusan projek pembangunan untuk rakyat dipendekkan.


Perdana Menteri berkata pada masa ini, ada sesetengah kelulusan untuk projek mengambil masa sehingga setahun ke dua tahun.


"India berjaya membuktikan 'fast track' kelulusan dalam tempoh 15 hari tetapi kita di negara ini untuk mendapatkan kelulusan bina jalan raya, klinik contohnya di Sabah, perlu melalui banyak kerenah birokrasi, peringkat daerah, EXCO negeri dan baru dibawa ke Putrajaya.


"Kecepatan, kelulusan, kita perlu perbaiki. Justeru dua bulan saya tadbir negara, saya sering memberi tempoh satu dua minggu, sebulan, untuk selesaikan isu.


"Contoh lain, siri rundingan terdahulu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Sabah berpuluh tahun, tetapi belum selesai," katanya pada Naratif Khas Pengacara Sayed Munawar Sayed Mustar dan Ismail Adnan yang disiarkan secara langsung di RTM, malam ini.


Dalam pada itu, Anwar mengakui tahap pemindahan teknologi yang rendah, kebergantungan kepada buruh, mengakibatkan sektor perladangan, restoran, pembinaan terjejas, dan langkah yang perlu dilaksanakan adalah melonggarkan sedikit dasar bagi membolehkan kegiatan itu kembali rancak.


"Pada masa sama, kita perlu 'upscaling' Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai penyelesaian jangka panjang. Saya lihat puluhan agensi ada dan jutaan ringgit dibelanjakan, tetapi kesan tidak kesampaian.


"Saya sudah arahkan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pengerusikan, supaya negara kita mempunyai latihan sumber daya manusia seutuhnya, ada kemahiran yang benar-benar berkesan bagi tangani kebergantungan kepada tenaga asing," katanya.


Mengenai isu jaminan makanan dan kos sara hidup, katanya, kerajaan pada masa ini sedang menyelesaikan masalah kartel yang menguasai sesuatu bidang sejak puluhan tahun.


Beliau berkata kerajaan faham peningkatan kos kepada syarikat tetapi harga kepada pengguna meningkat lebih daripada sepatutnya.


Selain itu, katanya, beliau juga mengarahkan penjimatan dalam kerajaan seperti kos elektrik di Kompleks Seri Perdana dan yakin negara mampu menjimatkan berbilion menerusi pendekatan itu termasuk berkaitan semakan semula kepada tender tertentu.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page