PENDANG: Pendedahan berkaitan kecurian unsur nadir bumi (REE) yang didakwa berlaku dalam kompartmen milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah di Sik, dekat sini hanyalah satu permulaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, masih banyak perkara akan didedahkan yang memerlukan jawapan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selaku Pengerusi MBI Kedah.
Katanya, buat masa ini beliau masih menunggu jawapan berhubung dua warganegara China, So Lai Fat dan Huang Zhi Yi yang dipercayai memainkan peranan dalam hal tersebut.
“Saya tak akan sebut kalau tiada dokumen yang kuat dan sahih. Saya fikir ini prinsip tanggungjawab sebab semua tahu Sanusi seorang yang pantas memberi penjelasan, maka saya tunggu jawapan beliau dalam hal ini,” katanya selepas meninjau projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Baru, di sini.
Menurutnya, Muhammad Sanusi perlu menjelaskan mengenai tindakan seterusnya yang diambil setelah individu yang bekerja di bawah MBI Kedah itu ditangkap pihak berkuasa.
“Ketika beliau tulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menyokong supaya diberi Pas Lawatan Ikhtisas Plik kepada dua individu itu untuk dibawa masuk, adakah profil mereka dijelaskan hingga membolehkan kelulusan diberi,” katanya.
Ditanya keberadaan kedua-dua individu itu ketika ini, Saifuddin mengesahkan Huang Zhiyi antara 52 yang ditahan melibatkan operasi oleh Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Perhutanan Negeri serta Jabatan Mineral dan Galian (JMG) pada 30 Januari lalu.
“Manakala So Lai Fat pula, rasanya Menteri Besar lebih tahu di mana lelaki itu berada walaupun saya ada rekod keluar masuknya,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin turut menafikan dakwaan Muhammad Sanusi kononnya terdapat plot besar yang sedang diatur untuk mengenakan dirinya ketika ini.
“Ini sebahagian daripada isu pentadbiran. Istilah dalam kanun tanah negara adalah mengalih dan memindahkan. Tak ada plot-plot yang diatur, licik sangatlah benda itu,” katanya.
Dalam lawatan itu, Saifuddin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri berkata, sejumlah 49,000 akaun pengguna di Pendang, Yan dan sebahagian Gurun bakal menerima manfaat besar daripada projek naik taraf LRA Jenun Baru.
Katanya, projek yang dijangka siap pada 4 April tahun depan mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran air kepada 110 juta liter sehari (MLD) berbanding 55 juta MLD ketika ini.
Sumber: Utusan
Pendedahan REE hanya permulaan
Comments