top of page

Pencemaran Sungai Kim Kim: Kerja bersih sisa kimia mula hari ini


PASIR GUDANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah melantik kontraktor bagi menjalankan kerja pembersihan sisa kimia di Sungai Kim Kim di Taman Pasir Putih, di sini.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal, berkata kerja pembersihan menyeluruh sudah dimulakan hari ini oleh kontraktor profesional berkenaan.


“Kita jangka kerja pembersihan ini mengambil masa lima hari, membabitkan kawasan sepanjang 1.3 kilometer dari tempat pembuangan sisa kimia yang dikesan Khamis lalu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih di sini hari ini. Dua sekolah itu ditutup semula hari ini selepas pelajar mengadu sesak nafas.


Khamis lalu, media melaporkan seramai 1,400 pelajar kedua-dua sekolah terbabit diarah mengosongkan kawasan sekolah kira-kira jam 10.30 pagi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.


Secara keseluruhan, lebih 82 mangsa dirawat di hospital dan klinik akibat pencemaran gas itu termasuk seorang pengusaha kantin dan seorang pemandu ambulans.


Kedua-dua sekolah itu sebelum ini ditutup empat hari termasuk pada Jumaat dan Sabtu lalu, sebelum dibuka semula hari ini selepas pihak berkuasa mengesahkan udara kawasan itu sudah tidak tercemar.


Sahruddin berkata, sekolah itu dibuka semula hari ini selepas Jawatankuasa Tindakan Bencana negeri yang turut dianggotai Jabatan Alam Sekitar dan bomba, mengesahkan keadaan sudah selamat untuk berbuat demikian.


“Kita masih menyiasat lanjut punca pelajar mengadu sesak nafas termasuk kemungkinan faktor psikologi rentetan kejadian yang berlaku Khamis lalu,” katanya.


Kira-kira jam 11 pagi tadi, bomba mengarahkan kedua-dua sekolah itu ditutup semula sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak kejadian tidak diingini.


Difahamkan, kira-kira 20 pelajar kedua-dua sekolah itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk pemeriksaan lanjut hari ini.


Sumber: Berita Harian


57 views
bottom of page