top of page

Penantian berakhir, pembeli Aspire Residence berdepan isu lain


Penantian berakhir, pembeli Aspire Residence berdepan isu lain
SUASANA perumahan Aspire Residence pada sesi pertama serah kunci di Club House, Aspire Residence di Cyberjaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR

Penantian berakhir, pembeli Aspire Residence berdepan isu lain

CYBERJAYA: Pembeli unit Aspire Residence Cyberjaya kini berdepan satu lagi masalah selepas ada dakwaan pihak pemaju hanya akan membayar 15 peratus Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) kepada mereka yang layak.


Menurut salah seorang pembeli, Siti Azielah Wahi, 38, dia mengetahui tentang ura-ura berkenaan setelah dimaklumkan oleh beberapa pembeli lain yang berhubung dengan pemaju mengenai perkara tersebut.


“Jika mereka ada keluarkan notis yang memaklumkan akan membuat bayaran (LAD) dalam tempoh tertentu, itu sebenarnya sudah dapat mengubati hati kami sebagai pembeli. Malangnya, tiada sebarang maklumat diterima setakat ini.


“Tapi bila ada pembeli yang hubungi, mereka (pemaju) cakap hendak bayar 15 peratus sahaja, jadi itu yang paling menakutkan. Sebagai pembeli, kita tuntut bayaran LAD yang sepatutnya mengikut SPA (perjanjian jual beli),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.


LAD adalah jumlah ganti rugi yang ditentukan secara kontrak, atau ditentukan sebelumnya yang boleh dituntut oleh mana-mana pihak sekiranya berlaku pelanggaran kontrak dan klausa tersebut boleh didapati di dalam SPA.


Siti Azielah mendakwa, sehingga kini pihak pemaju gagal untuk memaklumkan jumlah LAD terkumpul sehingga tarikh serahan milikan kosong (VP) kepada pembeli.


“Kalau pembeli awal yang beli rumah sekitar 2016 hingga 2017 tuntutan LAD ada yang mungkin berjumlah lebih RM100,000. Kira sendirilah kalau hanya 15 peratus sahaja yang dibayar?


“Itu sangat tidak adil kepada kami sebagai pembeli yang menanggung pelbagai kerugian selama projek berkenaan masih belum disiapkan. Jadi, di sini kami memohon agar pihak pemaju bertanggungjawab sepenuhnya dan mematuhi perjanjian seperti yang tertakluk di dalam SPA,” katanya.


Turut senada, seorang pekerja swasta, Azrul Ikmal Mohd Salim, 36, memohon agar pihak pemaju membuat pembayaran LAD sebaik sahaja kunci diserahkan kepada pembeli.


“Kita nampak mereka nak siapkan projek ini cumanya walaupun dah siap, proses penyerahan mereka tidak uruskan dengan baik,” katanya.


Sementara itu, seorang ahli fisioterapi, Aslinda Maulat Mohd Fuhad, 36, meluahkan rasa kesal dan mendakwa dirinya dilayan seperti ‘bola’ ketika berurusan dengan pihak pemaju.


“Bila hubungi pihak bank, bank maklumkan sudah ‘disburse’, kena ‘check’ semula dengan pemaju. Bila periksa dengan pemaju mereka maklumkan saya dah boleh dapat, tetapi ketika hubungi bahagian penyerahan kunci katanya nama saya tiada dekat mereka,” katanya.


Kata Aslinda, dia turut kecewa setelah dimaklumkan oleh pembeli lain yang sudah menerima kunci masing-masing berhubung keadaan unit dan kecacatan mutu kerja yang mencerminkan seolah-olah pemaju masih belum bersedia untuk menyerahkan rumah berkenaan.


Difahamkan, setelah tujuh tahun menunggu, lebih 500 pembeli projek Aspire Residence akan mula menerima kunci rumah secara berperingkat mulai semalam.


Projek berkenaan bermula pada Oktober 2016 dan sepatutnya siap pada 2019 namun tergendala akibat isu aliran tunai dan kontraktor asalnya menghentikan kerja di tapak, yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembeli kerana tidak mendapat rumah dalam tempoh yang sepatutnya.


Aspire Residence melibatkan pembinaan tiga blok 25 tingkat meliputi 1,168 unit kediaman bagi tiga kategori berbeza mengikut saiz kediaman dengan pelbagai fasiliti antaranya kolam renang, taman permainan dan gimnasium.


Sumber: Utusan


Penantian berakhir, pembeli Aspire Residence berdepan isu lain


Comentários


bottom of page