Penamatan projek tambakan laut: Pemaju Melaka Gateway harap dapat bincang dengan kerajaan negeri



KUALA LUMPUR: Syarikat pemaju Melaka Gateway, KAJ Development (KAJD) Sdn Bhd berharap dapat mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri berhubung penamatan perjanjian projek tambak laut, yang dipercayai bakal menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 45,000 orang.


Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) KAJ Development (KAJD) Sdn Bhd, Datuk Michelle Ong memberitahu, lebih 40 peratus daripada kerja-kerja pembangunan yang menelan perbelanjaan hampir RM700 juta itu setakat ini siap.


"Saya benar-benar terkejut apabila menerima surat penamatan kontrak itu tanpa sebarang alasan dan notis terlebih dahulu.


"Tindakan kerajaan negeri Melaka menghentikan perjanjian ini adalah tidak sah, tidak adil, tidak masuk akal dan tidak berperlembagaan," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Sabtu.


Pada 16 November lalu, Pejabat Ketua Menteri Melaka menerusi satu kenyataan dilaporkan telah memaklumkan mengenai penamatan penambakan laut bersama KAJ berkuat kuasa 3 Oktober lalu.


Kenyataan itu memberitahu, perjanjian yang bermula sejak 4 Oktober 2017 itu ditamatkan berikutan syarikat berkenaan didapati gagal menyiapkan projek mengikut tempoh ditetapkan.


Ditanya mengenai surat bertarikh, 12 Oktober yang dihantar oleh kerajaan negeri untuk mengemukakan penjelasan mengenai kelewatan projek itu, Michelle Ong menjelaskan, pihaknya telah membalas surat tersebut empat hari kemudian, namun dinafikan oleh kerajaan negeri.


"Pihak kami diberikan notis pada Isnin lalu dan mereka mengarahkan kami untuk mengosongkan tapak projek dalam masa 14 hari.


“Kami cuba untuk membuat temu janji untuk mengadakan perbincangan tapi gagal. Tiada sebarang perbincangan antara kerajaan negeri dengan pihak kami. Namun kami ada memohon untuk mengadakan pertemuan tapi tiada respon," katanya.


Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya juga ada memohon untuk pelanjutan tempoh evaluasi namun turut gagal.


"Banyak pelabur asing telah melabur dalam projek ini," jelasnya.


Dalam pada itu, Michelle Ong menegaskan pihaknya juga sedia berdepan sebarang tindakan undang-undang daripada Kerajaan Negeri berhubung penamatan projek ini.


Projek yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari 2014 lalu melibatkan kos hampir RM43 bilion.


Projek itu disifatkan dapat membantu sasaran kerajaan menerima kunjungan 36 juta pelancong menjelang 2020.


Projek itu merangkumi 12 presint antaranya pusat hiburan, pusat fesyen antarabangsa, penempatan dan aktiviti kapal layar taman bersejarah, taman kebudayaan dan resort pelancongan.


Sumber: Astro Awani

5 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.