top of page

Pembinaan WCE disasarkan siap sepenuhnya menjelang 2025


Pembinaan WCE disasarkan siap sepenuhnya menjelang 2025
Kerja pembinaan Plaza Tol Asam Jawa di WCE - Foto ihsan Kementerian Kerja Raya

Pembinaan WCE disasarkan siap sepenuhnya menjelang 2025

SUBANG JAYA: WCE Holdings Bhd (WCEHB) menyasarkan empat bahagian Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang masih dalam pembinaan akan siap menjelang akhir tahun kewangan semasa yang berakhir 31 Mac 2024.


Empat bahagian yang masih dalam pembinaan itu ialah Seksyen 1, Seksyen 2, Seksyen 6 dan Seksyen 11.


Dengan siapnya pembinaan empat bahagian WCE itu juga akan mewujudkan sambungan ke beberapa lebuh raya sedia ada iaitu Seksyen 1 ke Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), Seksyen 2 ke Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Seksyen 6 ke Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) dan Seksyen 11 ke Lebuhraya Utara Selatan (NSE/PLUS).


Bahagian selebihnya iaitu Seksyen 3, 4 dan 7 disasarkan untuk disiapkan menjelang tahun kewangan 2025.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

Ketua Pegawai Eksekutif WCEHB, Lyndon Alfred Felix, berkata dengan bersedia bagi menyiapkan empat bahagian baharu menjelang akhir tahun kewangan ini, pihaknya optimis bahawa pertumbuhan trafik akan menjadi baik.


Beliau berkata, ia berdasarkan beberapa faktor iaitu tiga daripada empat bahagian lebuh raya itu berada di Selangor, yang jumlah trafik lazimnya lebih tinggi, empat bahagian itu juga disambungkan ke lebuh raya utama lain dan empat bahagian telah dibuka pada masa ini.


"Trend pengguna harian kebanyakannya adalah jarak pendek. Bagaimanapun, sebaik saja empat bahagian tambahan dibuka, kami menjangkakan peningkatan dalam komuter jarak sederhana atau jauh serta peningkatan kenderaan komersial atau Kelas 3.


"Kesesakan teruk di lebuh raya PLUS juga akan bertindak sebagai faktor besar untuk memaksa pengguna jalan raya menggunakan WCE," katanya dalam satu kenyataan.


Empat bahagian yang beroperasi sejak 2019 menyaksikan jumlah trafik yang menggalakkan, dengan purata 50,000 hingga 60,000 kenderaan melaluinya setiap hari, meningkat 65 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.


Trafik mencecah rekod 100,000 kenderaan harian semasa tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri pada April, yang adalah lonjakan besar daripada 60,000 kenderaan harian pada tempoh perayaan yang sama pada tahun kewangan sebelumnya.


Sehingga kini, 99.9 peratus daripada pengambilan tanah untuk keseluruhan projek berkenaan telah siap.


Proses perbicaraan tanah bagi baki lapan lot berkaitan Seksyen 3 WCE (KESAS - Laluan 2 Lebuhraya Persekutuan) telah selesai dan pembayaran kepada pemilik tanah sedang dimuktamadkan.


Kumpulan menjangka akan menyelesaikan sepenuhnya proses pengambilan tanah untuk lapan lot itu menjelang akhir tahun ini.


Ditubuhkan pada Disember 2000 dan disenaraikan pada 17 November 2003, WCEHB memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek WCE oleh anak syarikatnya yang dimiliki 80 peratus, West Coast Expressway Sdn Bhd.


Projek penswastaan bina-operasi-pindah itu membabitkan pembinaan lebuh raya sepanjang 320 kilometer termasuk 83 kilometer bahagian bebas tol di Laluan Persekutuan 5 yang dinaiktaraf oleh Jabatan Kerja Raya yang menghubungkan pantai barat Semenanjung dari Banting di Selangor ke Taiping pada Perak.n


Sumber: Berita Harian


Pembinaan WCE disasarkan siap sepenuhnya menjelang 2025


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page