top of page

Pembinaan terowong cetus persoalan


TEROWONG yang dibina di bawah laluan Landasan Berkembar Elektrik berhampiran Kampung Yap Tau Sah di Kluang yang tidak dimaklumkan kepada penduduk. - Foto ADNAN IBRAHIM

KLUANG: Pembinaan sebuah terowong di bawah laluan Landasan Berkembar Elektrik berhampiran Kampung Yap Tau Sah dekat sini, menimbulkan persoalan kepada penduduk yang mendakwa tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu.


Terowong atau Vehicular Box Culvert (VBC) berkenaan difahamkan mula dibina pada pertengahan tahun lalu dan sudah siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini.

Penduduk, Sulaiman Othman, 55, berkata, sehingga hari ini mereka yang tinggal berdekatan terowong itu masih tidak dimaklumkan apa-apa berkaitan pembinaan berkenaan.


Bagaimanapun, katanya, ada ura-ura mengatakan satu jalan sambungan dari Jalan Mengkibol akan dibina di kawasan itu untuk menghubungkan Taman Kluang Indah dan Jalan Kota Tinggi-Kluang.


Katanya, penduduk tidak bermaksud menolak sebarang pembangunan di kawasan berkenaan, namun berasa tiada keperluan untuk membina jalan sambungan itu kerana sudah ada jalan berdekatan terowong berkenaan.


"Kalau nak bina jalan pintas di kawasan ini, kami rasa ia memerlukan perbelanjaan besar kerana kos pengambilan tanah perlu difikirkan, selain pembinaan sebuah lagi jambatan melintasi Sungai Mengkibol.


"Malah, kira-kira 500 meter dari terowong ini sudah ada Jalan Besar-Jalan Yap Tau Sah yang menghubungkan Jalan Mengkibol ke kawasan Kampung Yap Tau Sah serta taman perumahan lain seperti Taman Kluang Indah dan Jalan Kota Tinggi-Kluang," katanya, hari ini.


Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kluang, Aidi Md Salleh ketika diminta mengulas, berkata pembinaan terowong berkenaan tiada dalam pelan asal pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) ketika pembentangan projek sebelum ini.


Katanya, cadangan pembinaan terowong itu juga tidak pernah dirujuk atau dikemukakan kepada JKR Kluang bagi tujuan semakan dan ulasan sekiranya ia akan dihubungkan ke jalan JKR.


"Yang paling utama sekali, JKR Kluang juga langsung tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membina jalan penghubung lain daripada yang sedia ada sekarang,"katanya.


101 views
bottom of page