KUANTAN, 8 OKTOBER 2024 : Kerajaan Pahang melahirkan rasa terkilan apabila salah satu komponen penting dalam projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) iaitu kawasan Rehat dan Rawat (R&R) tidak dilaksanakan, walaupun terdapat dalam skop projek dan hanya penyediaan platform dan infra sahaja yang dilaksanakan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, justeruitu, Kerajaan Negeri berharap pihak Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi memberi pertimbangan sewajarnya untuk meneruskan pembinaan infrastruktur ini.
“Kerajaan Negeri sebelum ini telah membuat permohonan agar kemudahan tersebut perlu dibina bagi memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna dalam mendapatkan kemudahan rehat sepanjang pemanduan.
“Meskipun kos pembinaan R&R mencecah dua kali ganda daripada anggaran kos asal, Kerajaan Negeri berharap pihak Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi memberi pertimbangan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas pembinaan LTU sepanjang 299.4 kilometer yang melibatkan enam pakej pembinaan dengan kos keseluruhan RM7.7 bilion.
“Pembinaan laluan baharu yang dijangka siap menjelang akhir tahun 2026 ini, memberi banyak manfaat kepada rakyat khususnya pengguna jalan raya yang melalui Pahang Barat (Bentong, Raub dan Lipis) menuju ke Negeri Kelantan.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan terhadap pentingnya Pakej 6 iaitu laluan Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) – Pelangai dapat diluluskan bagi melengkapkan jaringan LTU.
Sehingga kini empat laluan di sepanjang LTU telah pun dibuka iaitu laluan Bentong Bypass, laluan Kampung Orang Asli Sungai Chandan – Kampung Asap, laluan Raub Bypass dan laluan Mentara – Kampung Seberang Jelai dengan kemajuan projek keseluruhan 66.01 peratus setakat ini.
“Semoga projek pembinaan LTU dapat disiapkan mengikut jadual dan saya sekali lagi berharap agar pembinaan R&R ini dapat diteruskan juga untuk keselesaan pengguna,” katanya.
Sumber: Pahang Media
Comments