top of page

Pembinaan LRT3 patuhi Pelan Pengurusan Trafik


KUALA LUMPUR 12 Mac - Pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dilaksanakan mengikut rancangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang diluluskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengurangkan impak kesesakan lalu lintas kepada pengguna jalan raya.


Pengarah Projek LRT3, Patrick Hwang Chee Leong berkata, selain laluan alternatif, pihaknya juga melaksanakan penandaan jalan baharu, penambahan lampu suluh, papan tanda jalan serta penurapan jalan raya.


Katanya, langkah-langkah tersebut telah diperhalusi dan dipersetujui oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta JKR untuk mengatasi isu-isu berkenaan.


“Kami bersimpati dengan penduduk dan pengguna jalan raya di sekitar Projek LRT3 di Klang yang merasakan keselamatan dan keselesaan mereka terjejas.


“Setakat ini pihak kami sentiasa memantau keselamatan jalan dengan bantuan Pasukan Rondaan Kecemasan dan jika ada jalan yang berlopak atau berlubang, pihak ERT akan menampal ‘cold mix’ serta menurap (resurface) permukaan jalan secepat mungkin,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Utusan Malaysia hari ini melaporkan aduan penduduk di sepanjang laluan pembinaan landasan LRT3 yang didakwa menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengancam nyawa ekoran beberapa kes kemalangan maut di kawasan itu.


Sehubungan itu Patrick berkata, pengguna jalan raya dan penduduk dialu-alukan menghubungi talian bantuan LRT3 1800-18-2585 untuk sebarang pertanyaan ataupun aduan.


Sumber: Utusan Online


78 views
bottom of page