top of page

Pembinaan Kompleks KLIBA kurangkan kesesakan di Hospital Melaka


Pembinaan Kompleks KLIBA kurangkan kesesakan di Hospital Melaka Harian Metro www.hmetro.com.my
HOSPITAL Melaka. FOTO Arkib NSTP

Ayer Keroh: Kerajaan Melaka bercadang untuk membina sebuah lagi hospital negeri bagi menampung keperluan yang semakin meningkat ketika ini.


EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata sebuah kawasan seluas 24 hektar di Durian Tunggal, di sini sudah dikenal pasti bagi pembinaan hospital berkenaan.


"Pembinaan itu akan membabitkan kos kira-kira RM543 juta dan akan diiktiraf sebagai hospital negeri, manakala Hospital Melaka sedia ada akan dijadikan Hospital Daerah Melaka Tengah.


"Saya yakin, dengan pembinaan hospital baharu yang mempunyai kira-kira 500 katil itu, dapat menampung keperluan untuk jangka masa panjang," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Lim Ban Hong (BN-Kelebang) yang mencadangkan supaya hospital baharu dibina di Melaka, Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15, di Seri Negeri di sini hari ini.


Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan hospital kluster di dua hospital daerah membabitkan Jasin dan Alor Gajah dengan menempatkan doktor pakar.


Katanya, jika sebelum ini doktor pakar ke dua hospital berkenaan hanya berstatus doktor pelawat, tetapi kini mereka diangkat sebagai doktor pakar tetap bagi memenuhi permintaan dan keperluan semasa.


"Kita akan menempatkan seramai enam doktor pakar di Hospital Jasin dan empat di Hospital Alor Gajah. Langkah itu membolehkan pesakit di luar bandar supaya tidak lagi perlu ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan daripada doktor pakar, tetapi hanya perlu ke hospital daerah.


"Pada masa sama, kita juga bersetuju untuk melanjutkan waktu operasi pembedahan di Hospital Jasin sehingga 10 malam, berbanding waktu pejabat sebelum ini," katanya.


Dr Muhamad Akmal turut mengumumkan pembinaan sebuah Kompleks Rawatan Ibu dan Anak (KLIBA) yang berharga kira-kira RM800 juta di bangunan Kolej Kerujurawatan Melaka, bersebelahan Hospital Melaka, di sini.


Katanya, pembinaan kompleks terbabit sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan Persekutuan, namun masih menunggu kelulusan bajet daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.


"Pembinaan KLIBA itu dijangka bermula pada 2025 dan dijangka siap lima tahun kemudian.


"Apabila siap kelak, kompleks terbabit akan mempunyai 476 katil tambahan, sekali gus menampung kesesakan di Hospital Melaka ketika ini," katanya.


Sumber: Harian Metro

12 views

Comments


bottom of page