top of page

Pembinaan IAC Bintulu dijangka siap Oktober ini


Pembinaan IAC Bintulu dijangka siap Oktober ini
Aidel (enam kiri) bersama Iskandar, Angelie (kiri), Christopher, Lau (kanan) serta pegawai-pegawai kanan JKR dan kontraktor merakam gambar di hadapan bangunan IAC Bahagian Bintulu yang dalam pembinaan.

Pembinaan IAC Bintulu dijangka siap Oktober ini

BINTULU: Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Bahagian Bintulu yang baharu di Jepak mencapai pembinaan 60.85 peratus setakat ini meskipun mengalami sedikit kelewatan daripada jadual yang telah ditetapkan.


Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, projek itu sepatutnya dijadual mencapai pembinaan 66 peratus berdasarkan bilangan hari pembinaannya iaitu 26 hari, namun ada sedikit kelewatan sekitar 5.5 peratus.


Begitupun katanya, projek ini dijangka siap pada Oktober ini dengan pembinaan strukturnya telah siap cuma berbaki beberapa bahagian bangunan yang perlu penyiapan segera. 


"Kita berpuas hati dengan pencapaian fizikal projek ini berbanding lawatan kita pada sesi yang lepas," ujarnya semasa bercakap kepada media dalam lawatan kerja rasminya ke IAC Bahagian Bintulu yang baharu petang semalam.


Sebelum itu, Aidel menghadiri sesi taklimat Projek Pembangunan Bahagian Bintulu di bilik mesyuarat Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu.


Ditanya sebab kelewatan katanya, ia berikutan kekurangan tenaga kerja tetapi bahan binaannya mencukupi namun kontraktor telah berusaha mengambil tenaga kerja tambahan bagi menyiapkan hampir 40 peratus baki projek itu.


Jelasnya, apabila siap kelak, IAC akan menempatkan pejabat-pejabat agensi kerajaan Sarawak di Bintulu iaitu Pejabat Residen, Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Pejabat Daerah, Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Hutan.


Menurutnya, IAC Bintulu adalah bangunan pusat pentadbiran kerajaan Sarawak yang tercantik dalam konsep serta struktur binaannya dari antara semua IAC yang ada di Sarawak.


Hadir sama mengiringi beliau ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee, ADUN Tamin Christopher Gira Sambang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Angelie Stephen Raja mewakili ADUN Tanjong Batu Johnny Pang, Jurutera JKR Bahagian Bintulu Lau Pit Hwa, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan JKR Sarawak serta pihak kontraktor.


IAC Bintulu di Lot 101, Blok 36 Kemena Land District Bintulu dihubungkan dengan pusat bandar Bintulu oleh Jambatan Bintulu-Jepak yang turut dalam proses penyiapan serta turut dijangka siap pembinaannya tahun ini juga pada Oktober.


Bangunan itu menempatkan Dek Pemerhatian di Tingkat 9, Bilik Mesyuarat Utama di Tingkat 8, Pejabat Residen Bahagian Bintulu di Tingkat 6 dan 7, Jabatan Hutan Bahagian Bintulu di Tingkat 4 dan 5, Jabatan Tanah dan Survei Bintulu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Bahagian Bintulu di Tingkat 3, Service Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei Bintulu dan Jabatan Perbendaharaan Negeri Bahagian Bintulu di Tingkat 2.


Diikuti Pejabat Daerah Bintulu, Jabatan Tanah dan Survei Bintulu di Tingkat 1 dan Tingkat Bawah, serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Bahagian Bintulu juga di Tingkat Bawah.


Pembinaan bangunan ini akan memusatkan agensi-agensi kerajaan dalam satu bangunan yang sama bagi memudahkan memberi perkhidmatan kepada orang ramai.


Bangunan ini terletak berhampiran dengan kawasan pantai menghadap Laut China Selatan yang memberikan kemudahan untuk melihat pemandangan kawasan pantai dan persekitarannya.


Laluan jalan berkembar dua lorong turut dibina di kawasan itu bagi menghubungkan Lapangan Terbang Bintulu dan IAC Bintulu sepanjang 4.2 kilometer yang turut dijadual siap pada Oktober 2024.




Pembinaan IAC Bintulu dijangka siap Oktober ini

Comments


bottom of page