top of page

Pembeli kediaman Sovereign Bay mohon campur tangan kerajaan


PEMBINAAN kondominium Sovereign Bay yang masih terbengkalai dan sepatutnya siap pada penghujung 2019 di Senibong, Johor Bahru di Johor.

JOHOR BAHRU: Pembeli perumahan kondominium Sovereign Bay di Senibong, di sini mendesak campur tangan kerajaan ekoran kelewatan projek berkenaan yang sepatutnya siap pada penghujung tahun 2019 lalu.


Sekumpulan pembeli kediaman itu dalam satu kenyataan memberitahu, lebih membimbangkan mereka projek berkenaan tiada tanda-tanda akan siap dalam waktu terdekat.


Jelas mereka, hal itu kerana tidak kelihatan pelaksanaan kerja-kerja kontrak di tapak projek ketika ini.


“Majoriti daripada kami sudah mula membayar kadar faedah bagi pinjaman perumahan antara RM400 hingga RM1,300 sebulan kepada bank meskipun rumah belum siap.


“Rata-rata merupakan pembeli rumah pertama yang bekerja di Singapura dan kini mempunyai halangan untuk balik ke Malaysia bagi memantau perkembangan projek. Selain itu, ada daripada kami membeli rumah ini sebagai persiapan perkahwinan.


“Keadaan ini cukup membebankan kerana pada masa sama kami perlu menanggung bayaran sewa rumah yang didiami ketika ini sementara menunggu projek berkenaan siap,” ujar mereka menerusi kenyataan itu di sini, hari ini.


Kenyataan tersebut ditandatangani secara bersama oleh seramai kira-kira 20 pembeli yang mana majoriti daripada mereka merupakan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.


Difahamkan, projek perumahan Sovereign Bay yang dibangunkan syarikat UE E&C Sanjia (M) Sdn. Bhd. itu merupakan satu projek hartanah usahasama syarikat antarabangsa dari Singapura dan China.


Tambah kenyataan itu lagi, majoriti pembeli kediaman berkenaan telah menandatangani surat perjanjian jual beli rumah mereka seawal 2015.


“Semasa menandatangani perjanjian itu, kami dijanjikan akan mendapat kunci unit rumah masing-masing pada penghujung tahun 2019.


“Kami juga telah membuat beberapa transaksi pembayaran meliputi yuran tempahan unit, wang deposit 10 peratus daripada harga rumah dan bayaran kemajuan projek dengan anggaran keseluruhan pembayaran sebanyak RM40,000,” katanya.


Kenyataan itu turut memaklumkan, aduan rasmi berhubung perkara itu telah disalurkan ke Jabatan Perumahan Negara dan jawapan yang diterima amat mengecewakan apabila pembeli dimaklumkan projek berkenaan baharu berada pada tahap 47 peratus siap.


“Hal ini kerana pemaju sebelum ini memaklumkan projek berkenaan mengalami kelewatan dan akan disiapkan pada awal tahun ini, namun perkara itu juga tidak kesampaian. Sehingga kini tiada sebarang maklum balas atau notis daripada pemaju berkenaan status projek dan jangka masa diperlukan untuk projek siap.


“Sehubungan itu, kami mengharapkan campur tangan kerajaan dalam memastikan pemaju projek menyambung pelaksanaannya dan memberikan satu tarikh siap projek yang pasti,” jelas mereka.


Comments


bottom of page