top of page

Pemangkin O&G


Kuala Lumpur: Malaysia bakal menerima pelaburan baharu di kemudahan Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang, Johor, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor minyak dan gas (O&G) di negara ini.


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming berkata, pihaknya menjangkakan terdapat lebih banyak aktiviti akan dijana daripada projek RAPID di Pengerang yang dipacu oleh Petronas serta kawasan berdekatan seperti terminal baharu deepwater terminal Dialog Group Bhd.


“Kita menerima beberapa permohonan pelaburan di Pengerang oleh beberapa syarikat yang berminat dan perincian pelaburan itu sudah sedia untuk diumumkan tidak lama lagi.


“Jadi, rakyat dapat melihat sejauh mana kepentingan industri berkenaan dan produk petrokimia hiliran salah satu daripada bidang tumpuan utama kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis jalinan hubungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi bersama sektor swasta sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di sini, semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, kebanyakan penganalisis menjangkakan harga minyak pada tahun ini berada antara AS$60 dan AS$70 setong.


“Unjuran berkenaan membawa kepada usaha potensi lebih banyak penerokaan potensi peluang baharu dalam sektor itu.


“Saya optimis, tetapi secara lebih berhati-hati menjangkakan Malaysia akan mengadakan lebih banyak aktiviti dalam sektor minyak dan gas untuk terus meningkatkan pertumbuhan industri,” katanya.


Ditanya sama ada peserta industri akan menutup operasi mereka jika harga minyak terus merosot, Dr Ong berkata, ia difikirkan tidak berlaku namun berkemungkinan syarikat yang terbabit akan mengecilkan operasi masing-masing.


Sementara itu, mengulas mengenai data Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPI) yang diumumkan semalam, Dr Ong berkata, sektor minyak dan gas kembali meningkat sejak suku ketiga tahun lalu.


“Saya optimis sektor minyak dan gas akan kembali meningkat sama seperti prestasi pada 2017. IPI semasa juga adalah petunjuk baik bagi sektor pembuatan iaitu satu komponen penting dalam indeks berkenaan,” katanya.


Berhubung status perjanjian perdagangan, beliau berkata Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan menunggu keputusan Perdana Menteri, manakala rundingan bagi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) masih lagi berlangsung.


Sumber: Harian Metro


51 views
bottom of page