top of page

Pelantikan kontraktor penyelamat kedua siapkan projek Sungai Melaka sedang dimuktamadkan


Pelantikan kontraktor penyelamat kedua siapkan projek Sungai Melaka sedang dimuktamadkan Astro Awani www.astroawani.com
Mohd Ali diiringi Zaini (kanan) melakukan lawatan Projek Pembersihan dan Pengindahan Sungai Melaka Fasa Dua di Melaka semalam. --fotoBERNAMA

MELAKA: Pelantikan kontraktor penyelamat kedua, bagi menyiapkan sebahagian pembangunan bernilai RM30 juta di bawah pakej satu Projek Pembersihan dan Pengindahan Sungai Melaka Fasa Dua yang tergendala sejak dua tahun lepas, sedang dimuktamadkan dalam masa terdekat.


Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata kontraktor penyelamat yang dilantik itu, diberi masa kira-kira 18 bulan daripada tarikh pelantikan untuk menyiapkan beberapa komponen pembangunan di bawah pakej satu berkenaan.


"Secara keseluruhan terdapat tiga pakej di bawah Projek Pembersihan dan Pengindahan Sungai Melaka Fasa Dua, dengan pakej dua dan tiga telah berjaya disiapkan dan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Melaka sejak 2018.


"Manakala di bawah pakej satu pula, terdapat beberapa komponen pembangunan yang perlu dibina dan setakat ini 'River Information Centre' (RIC) telah disiapkan dan diserahkan kepada kerajaan negeri pada Julai lepas," katanya kepada pemberita di sini semalam.


Beliau berkata demikian selepas mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam melawat Projek Pembersihan dan Pengindahan Sungai Melaka Fasa Dua dan turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh.


Zaini berkata kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek berkenaan, telah ditamatkan lantikannya pada 2015 manakala kontraktor penyelamat pertama turut ditamatkan lantikan, bagi meneruskan projek berkenaan pada 2020.


Beliau berkata KASA komited dalam usaha memastikan kontraktor penyelamat baharu, dapat menyiapkan baki pembangunan projek di bawah pakej satu itu mengikut masa yang ditetapkan.


"Projek ini merupakan salah satu usaha kerajaan melestarikan alam sekitar dan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat, untuk beriadah di tepi Sungai Melaka sekali gus menjadikan kawasan berkenaan sebagai tumpuan utama aktiviti pelancongan.


"Kita ambil maklum teguran Tun (Mohd Ali) berhubung sebahagian komponen projek pakej satu yang masih belum disiapkan dan beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan di bawah pakej dua dan tiga," katanya.


Beliau berkata penambahbaikan berkenaan yang melibatkan infrastrutur sedia ada akan dilakukan dengan kerjasama JPS negeri membabitkan peruntukan berjumlah RM1.1 juta.


Projek pembersihan dan pengindahan Sungai Melaka fasa dua yang terbahagi kepada tiga pakej dilancarkan pada 2012 bernilai RM350 juta membabitkan kerja di sepanjang kawasan 5.2 kilometer bermula dari Jabatan Hang Jebat hingga pintu kawalan pasang surut Batu Hampar di sini.


Sumber: Astro Awani


2 views

Комментарии


bottom of page