IPOH: Industri pelancongan Perak bakal meraih manfaat terbesar kesan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), terutama apabila siapnya jajaran terakhir di negeri ini dari Beruas ke Persimpangan Taiping Selatan pada hujung tahun ini.
Lebuh raya itu dianggap sebagai gerbang baharu ke negeri itu dengan menggunakan tema ‘Promising Perak’
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penyiapan Seksyen 11 WCE dari Beruas ke Taiping Selatan menjelang akhir tahun ini, adalah tepat pada masa untuk membantu Tahun Melawat Perak 2024.
“Lebuh raya ini bakal menyajikan perjalanan yang menarik sepanjang pesisiran pantai barat kepada bakal lapan juta pelancong tempatan dan 350,000 pelawat antarabangsa ke destinasi pelancongan utama sepanjang jajaran pantai barat negeri Perak, bermula dari Hutan Melintang ke Teluk Intan, Sitiawan ke Beruas, Trong dan penghujungnya, Taiping Selatan,” katanya pada Majlis PraPelancaran Tahun Melawat Perak 2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini
WCE adalah projek lebuh raya sepanjang 233 kilometer dari Banting, Selangor hingga ke Taiping Selatan (Changkat Jering), Perak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WCE, Lyndon Alfred Felix pula meluahkan rasa teruja apabila tarikan yang ada di sepanjang laluan lebuh raya itu kini boleh diterokai dengan masa lebih singkat selain merancakkan sosioekonomi komuniti kawasan terlibat.
Beliau juga mengumumkan penyiapan penghujung lebuh raya itu di Selangor, termasuk Seksyen 1 (Banting – SKVE), Seksyen 2 (SKVE – SAE) serta Seksyen 6 (Kapar – Assam Jawa) menjelang akhir tahun ini.
“Perhubungan lebuh raya yang lancar ini akan menawarkan pengalaman baharu bagi pelancong dan pengguna lebuh raya dari selatan tanah air serta pusat bandar seperti Shah Alam dan Klang untuk terus ke negeri Perak.
“Kami bangga menjadi jaringan penghubung bagi sebahagian besar daripada lapan juta pelancong Malaysia yang dijangka melawat negeri Perak pada tahun depan,” katanya.
Sumber: Utusan
Pelancongan Perak raih manfaat terbesar pembinaan WCE
Commenti