
KERAJAAN telah bersetuju untuk memperluas pelaksanaan Program Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (PPP) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membantu penghuni perumahan berstrata kos rendah awam dalam baik pulih kediaman mereka.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, kedua-dua program berkenaan sebelum ini dilaksanakan di seluruh negara kecuali Kuala Lumpur.
Menurutnya, pengecualian itu berdasarkan kepada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 22 Februari 2017 atas alasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai deposit tetap yang besar di institusi kewangan dengan sebahagian daripadanya boleh digunakan bagi projek-projek mesra rakyat.
“Maka dana KPKT boleh ditumpukan kepada program penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah awam dan kos rendah serta sederhana rendah swasta di luar Kuala Lumpur.
“Namun begitu mengambil kira keperluan penyelenggaraan perumahan strata di Kuala Lumpur, KPKT telah mengangkat satu Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi cadangan peluasan pelaksanaan PPP dan TPPM dan peluasan ke perumahan berstrata dengan harga belian bernilai RM300,000 ke bawah.
“Cadangan ini telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 18 September lalu. Melalui keputusan terkini Jemaah Menteri ini, penduduk strata kos rendah awam dan, kos rendah serta sederhana rendah swasta di Kuala Lumpur akan turut menerima manfaat secara inklusif daripada Kerajaan Persekutuan sebagaimana negeri-negeri lain di seluruh Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai langkah-langkah pembaharuan untuk memudahkan penyaluran dana penyelenggaraan perumahan kos rendah di Wilayah Persekutuan, serta membantu menyelesaikan isu dana yang tidak diperoleh.
KPKT menambah, peluasan PPP dan TPPM di Kuala Lumpur iakan dibuat berdasarkan peruntukan yang diterima oleh KPKT melalui Belanjawan 2025.
Jelas kementerian itu, terdapat 10 skop kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan iaitu membaiki atau mengganti lif; membaiki atau mengganti tangki air dan sistem retikulasi; membaiki atau mengganti paip sanitari; membaiki atau mengganti bumbung; membaiki atau mengganti tangga dan susur tangan (handrail).
Selain itu katanya, mengecat semula bangunan dan harta bersama; pendawaian semula dan kerja elektrik; membaiki atau mengganti kemudahan atau infrastruktur awam yang melibatkan harta bersama; mengganti atau membina pagar di sekeliling kawasan pemajuan; dan pembaikan cerun di dalam kawasan pemajuan.
“Pada tahun ini, KPKT telah menerima peruntukan sebanyak RM100.4 juta iaitu masing-masing sebanyak RM50 juta bagi PPP dan RM50.4 juta bagi TPPM. Peruntukan ini diagihkan kepada agensi pelaksana di seluruh negara berdasarkan kos siling negeri yang telah ditetapkan.
“Agensi pelaksana yang melaksanakan PPP dan TPPM adalah terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Lembaga Perumahan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Sumber: Wilayah Ku
Comments