top of page

Pelajar Orang Asli gagal ke sekolah kerana jalan rosak

Oleh: Ramli Ibrahim


SEBAHAGIAN 151 pelajar Orang Asli di Pos Simpor diangkut keluar menggunakan kenderaan pacuan empat roda meredah jalan berlumpur di laluan balak untuk ke sekolah mereka. - NSTP/Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Seramai 151 pelajar Orang Asli di sekolah menengah di daerah ini gagal hadir ke sekolah sejak sesi persekolahan bermula Selasa lalu, akibat jalan rosak teruk.


Pelajar itu membabitkan mereka yang tinggal di kampung pedalaman sekitar Pos Bihai, Balar dan Pos Belatim yang menggunakan jalan balak.


Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid, berkata masalah perhubungan itu berlaku setiap awal tahun ketika sesi persekolahan baru bermula.


Beliau mengakui walaupun usaha sudah dilakukan kontraktor bagi membawa keluar pelajar terbabit, namun gagal berbuat demikian kerana ada yang tersekat dalam jalan berlumpur.


Katanya, JAKOA melantik beberapa kontraktor bagi mengangkut keluar pelajar Orang Asli di pedalaman, tetapi hanya sebahagian berjaya diangkut keluar.


“Apapun usaha itu diteruskan setiap hari supaya pelajar sekolah menengah Orang Asli itu tidak tercicir dan ketinggalan pelajaran,” katanya.


Hashim Alang berkata, pihaknya belum bercadang memohon bantuan penerbangan ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membawa pelajar Orang Asli terkandas itu.


Katanya, ini kerana jumlah pelajar terkandas itu tidak ramai dan masih ada usaha melalui jalan darat dalam masa terdekat ini kerana keadaan cuaca juga semakin baik.


Beliau berkata, berdasarkan rekod, kehadiran pelajar Orang Asli mendaftar pada sesi persekolahan tahun ini seramai 692 pelajar sekolah menengah dan 1,862 murid sekolah rendah.


“Pelajar Orang Asli itu dipecahkan untuk bersekolah di lapan sekolah menengah dan yang lain pula di 11 sekolah rendah termasuk berhampiran kampung mereka.


“Kita tengok dulu macam mana. Jika masih gagal juga, alternatif terakhir adalah menggunakan penerbangan ihsan Unit Udara JBPM untuk angkut pelajar Orang Asli itu.


“Selepas berlaku banjir besar pada 2014, kami sentiasa berkolaborasi dengan Unit Udara JBPM bagi membawa pelajar terkandas di pos pedalaman untuk ke sekolah,” katanya.


Sumber: BeritaHarian


19 views
bottom of page