top of page

Pekerja maut jatuh 70 meter di tapak pembinaan


Pekerja warganegara Nepal maut jatuh 70 meter di tapak pembinaan
Kejadian itu berlaku pada jam 10.21 pagi semasa lelaki warga asing berusia 42 tahun itu sedang bekerja.

Pekerja warganegara Nepal maut jatuh 70 meter di tapak pembinaan

PASIR GUDANG: Seorang pekerja warganegara Nepal maut selepas dipercayai terjatuh dari tempat tinggi di sebuah tapak projek pembinaan di sini pada Isnin.


Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor dalam satu kenyataan memberitahu, kejadian itu berlaku pada jam 10.21 pagi semasa lelaki warga asing berusia 42 tahun itu sedang bekerja.


"Hasil siasatan awal yang dijalankan pihak JKKP mendapati mangsa merupakan pekerja subkontraktor yang dilantik bagi kerja-kerja pembuka perancah di kawasan pembinaan berkenaan. "Ketika kejadian mangsa telah terjatuh dari ketinggian 70 meter ke aras bawah.


Mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," menurut kenyataan tersebut pada Selasa.


Jelas kenyataan itu, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab atas kemalangan tersebut.


JKKP Johor katanya, akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.


"JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam. Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja," menurut jabatan itu lagi.


Tambah JKKP, majikan bertanggunjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko di tempat kerja yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.


"Ini bagi mengurangkan risiko ke atas pekerja dan mengelakkan sebarang kemalangan.


Adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk melaporkan kemalangan maut yang berlaku dengan serta merta kepada JKKP dengan cara yang paling cepat.


"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melakukan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah dinyatakan dalam Garis Panduan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," jelas JKKP.


Sumber: Astro Awani


45 views

Comments


bottom of page