Pekerja JKR maut dirempuh ketika mengecat garisan jalan


Dalam kemalangan pukul 10 pagi itu, Tambi Chik Selim maut di lokasi kejadian manakala dua lelaki yang juga rakan sekerja mangsa masing-masing berusia 39 dan 56 tahun cedera parah. - Gambar Astro AWANI

AYER KEROH: Seorang pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) maut sementara tiga lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta ketika melakukan kerja mengecat garisan jalan di Jalan Lorong Pandan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkera, Melaka, pagi tadi.


Dalam kemalangan pukul 10 pagi itu, Tambi Chik Selim, 57 tahun maut di lokasi kejadian manakala dua lelaki yang juga rakan sekerja mangsa masing-masing berusia 39 dan 56 tahun cedera parah.


Seorang lagi pekerja yang belum dikenal pasti pula cedera ringan manakala wanita yang memandu kereta jenis Perodua Viva berusia 67 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.



Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu wanita warga emas itu dalam perjalanan dari Lorong Pandan menghala ke Limbongan.


Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kereta dipandu suspek gagal dikawal sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan merempuh tiga motosikal pekerja JKR yang diparkir di bahu kiri jalan itu.


Beliau berkata, pada masa sama, empat pekerja JKR yang sedang berehat selepas menjalankan kerja mengecat dan menyusun kon di lokasi kejadian turut dirempuh kereta terbabit.


Hasan Basri berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat manakala tiga yang cedera dihantar hospital sama untuk rawatan lanjut.


Tambahnya, pemandu kereta ditahan untuk siasatan lanjut dan sampel darah turut diambil bagi pemeriksaan kandungan alkohol serta dadah.


Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sumber: Astro Awani


#evolusibina #JKR

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.