top of page

PDP lebuh raya baharu Sarawak diumum bulan ini


Menteri Kerja Raya, Baru Bian ketika menyampaikan ucapan pada sesi perjumpaan bersama warga KKR di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan keputusan mengenai Rakan Pelaksana Projek (PDP) baharu bagi melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak, bulan ini.


Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata perkara ini sudah dibincang dan dikemuka ke Kabinet sebelum satu keputusan mengenainya diumumkan.


“Mengenai Sarawak, PDP sepertimana yang sudah dikemukakan kepada Kabinet sebelum ini, keputusan akan dikeluarkan dalam satu atau dua minggu lagi,” katanya ketika ditemui media pada sesi perjumpaan Menteri Kerja Raya bersama warga kementeriannya di sini, hari ini.


Sebelum ini, beliau mengumumkan bahawa proses mengambil alih tugas memantau pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah daripada syarikat PDP kepada kementeriannya dijangka selesai September ini.


Mengulas isu pengambilalihan empat lebuh raya sebelum ini, beliau berkata, kajian holistik yang dijalankan pihaknya sudah dikemuka kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk diteliti.


“Sebelum ini, kementerian kita sudah diberi mandat oleh Kabinet untuk membuat kajian holistik mengenai isu tol ini. Ia sudah pun siap dan sudah kemuka kepada Dr Mahathir.


“Kertas kajian itu belum dibincangkan di peringkat Kabinet, akan dibuat dalam masa terdekat sebelum Kabinet membuat keputusan. Ini seperti komitmen kita kepada Parlimen untuk siapkan kajian ini pada Jun,” katanya.


Ditanya sama ada pengumuman kerajaan mengambil alih empat konsesi tol memberi kesan terhadap kos penyelenggaraan seperti dibangkit banyak pihak sebelum ini, beliau akui itu antara cabaran besar kementeriannya kelak.


Katanya, sejak beberapa tahun lalu, wujud peningkatan ketara terhadap kos menyelenggara jalan sama ada jalan Persekutuan atau lebuh raya.


“Memang keseluruhannya termasuk jalan Persekutuan naik (kos selenggara). Seperti mana yang sudah dijawab di Parlimen, kementerian memang berdepan cabaran ini. Sekarang pun kita hanya terima bajet tidak sampai 50 peratus (daripada bajet dipohon).


“Kita memerlukan RM2 bilion setiap tahun contohnya untuk selenggara jalan Persekutuan, tapi malangnya (bajet) yang kita dapat tidak sampai 50 peratus, (bajet) tahun ini juga jumlah sama. Dengan penambahan jumlah trafik, kos akan terus meningkat, ini lojik,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Selangau sebelum ini berkata, sejak tiga tahun lalu, Kementerian Kerja Raya hanya menerima antara RM600 hingga RM800 juta bagi membaik pulih jalan Persekutuan dan jumlah itu ternyata tidak mencukupi.



7 views
bottom of page