KOTA TINGGI 26 Julai - Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) memperuntukkan pelaburan sebanyak AS12 bilion (RM49.32 bilion) untuk projek-projek baharu serta penggabungan dan pengambilalihan sehingga 2037.
Ketua Komersial PCG, Shamsairi M. Ibrahim berkata, sebanyak 20 projek dalam derivatif dan kimia khusus telah dikenal pasti iaitu membabitkan produk methane, CS+, butadiene, propylene dan ethylene.
Beliau berkata, tiga pertumbuhan yang ditekankan ialah meluaskan rantaian nilai melalui pelaburan hiliran di kompleks sedia ada, membina platform khusus yang boleh mengakses teknologi dan pasaran menerusi penggabungan dan pengambilalihan serta menghasilkan pilihan kepada pertumbuhan.
“Buat masa ini kita dah kecilkan kepada 20 projek daripada 400 projek yang kita kenal pasti. Kita akan umumkan nanti. Sasaran kita pelabur antarabangsa yang boleh memberi kelebihan bersama.
“20 projek ini kita akan laksanakan di Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Kerteh di Terengganu atau di tempat-tempat lain di dunia. Kita juga akan terbuka kepada penggabungan dan pemilikan dan ia adalah aktiviti yang berterusan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian semasa kunjungan media ke tapak projek petrokimia di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Kota Tinggi, semalam.
Pada lawatan itu juga, media dimaklumkan bahawa PIC akan tetap beroperasi pada suku keempat tahun ini dan tahap kemajuan adalah 98.63 peratus.
Pada Mei, PCG mengambil alih 100 peratus Da Vinci Group B.V., syarikat berpangkalan di Belanda, menandakan penerokaannya ke pasaran kimia khusus kerana Da Vinci mempunyai operasi global dalam pasaran tersebut.
Sementara itu Shamsairi menjelaskan bahawa pasaran ASEAN amat penting kepada PCG kerana ia mencatatkan pertumbuhan walaupun keadaan ekonomi global yang agak suram.
“PCG berada di tempat yang tepat dengan pasaran (ASEAN) sekitarnya tumbuh berterusan. Kuasa beli semakin meningkat jadi syarikat boleh meneroka pasaran tersebut dan jangan lupa pasaran India di utara,’’ jelas beliau.
Sebanyak 70 peratus penguasaan pasaran PCG adalah di ASEAN dan ia beri kelebihan kerana jarak yang dekat dan kos adalah rendah, katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Comentarios