top of page

PBT perlu kurang tutup jalan, tangani masalah kesesakan lalu lintas - TPM


Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diarah mengurangkan penutupan jalan dan mengemukakan kaedah penyuraian akibat langkah itu bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas.


PBT khususnya di Lembah Klang juga perlu mengemukakan senarai jalan yang sudah ditutup terlalu lama berikutan kerja pembinaan lebuh raya, bangunan atau infrastruktur kepada Jawatankuasa Teknikal dalam tempoh dua minggu.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata input yang diberikan PBT itu akan diteliti jawatankuasa teknikal di bawah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) bagi menangani masalah kesesakan yang berpunca daripada penutupan jalan.


"Satu koordinasi akan dilakukan dengan segera bagi penutupan jalan di kawasan pembinaan lebuh raya, bangunan atau lain-lain infrastruktur.


"Penutupan jalan ini hendaklah dikurangkan dan mesti dimaklumkan supaya ada kaedah penyuraian terhadap masalah lalu lintas," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JKMKJR Bil 1, di sini, hari ini.


Mac lalu, Loke dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negara ini, yang akan disertai pelbagai kementerian untuk melihat kepada langkah yang lebih komprehensif dan menyeluruh.


Ahmad Zahid berkata, mesyuarat turut mengesyorkan lebih banyak laluan kontra dibuka bagi mengatasi masalah kesesakan di Lembah Klang terutama ketika waktu puncak.


"Bagi mengatasi kesesakan terutamanya waktu puncak, jalan atau laluan utama ke sesuatu destinasi akan diperluas dengan menggunakan lorong atau laluan kontra supaya lorong sedikit dibuka menjadi banyak.


"Ini kaedah dilakukan bukan hanya untuk beberapa jalan ke Putrajaya atau Kuala Lumpur tetapi juga untuk beberapa kawasan lain," katanya.


Beliau berkata, semua PBT, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan kawasan berdekatan diminta memberi input kepada Jawatankuasa Teknikal bagi mengatasi serta menyelesaikan permasalahan.


Pada masa sama, beliau berkata, mesyuarat mencadangkan supaya pengangkutan awam digunakan dengan cekap.


"Syarikat pengangkutan awam disaran memperbanyakkan promosi dengan menawarkan harga rendah, selain memperbanyakkan lagi destinasi laluan, termasuk laluan khusus untuk bas yang akan dijalankan dengan kerjasama PBT.


"Kita tidak memohon peruntukan tambahan pun bagi menyelesaikan masalah segera ini. Maka, Menteri Pengangkutan sudah mengambil beberapa langkah proaktif bagi mewujudkan 'quick wins' terhadap penyelesaian masalah kesesakan lalu lintas terutamanya di ibu negara," katanya.


Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, kerajaan menyasarkan isu kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur dapat diselesaikan secara menyeluruh sebelum 2030.


"Kami dimaklumkan DBKL meletakkan sasaran pada 2030, namun mesyuarat tadi memutuskan ia mesti diselesaikan lebih awal dari 2030.


"Jadi, kita meletakkan tarikh sasaran baharu bagi penyelesaian menyeluruh. Menteri Pengangkutan akan mempengerusikan jawatankuasa teknikal bagi perkara itu," katanya.


Ditanya sama ada 'caj kesesakan' turut dibincangkan pada mesyuarat itu, Ahmad Zahid berkata, isu itu tidak dibincangkan, namun ia akan dibawa pada mesyuarat teknikal JKMKJR.


Isu caj kesesakan pernah dicadangkan sebelum ini dan ia disifatkan antara langkah terbaik dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di ibu negara.


Caj kesesakan sudah lama dilaksanakan di bandar luar negara, antaranya Singapura; London, United Kingdom; Stockholm, Sweden dan Milan, Itali.


Sumber: Berita Harian

8 views

Commenti


bottom of page