top of page

PBT perlu berintegriti, elak persepsi negatif masyarakat terhadap rasuah


PBT perlu berintegriti, elak persepsi negatif masyarakat terhadap rasuah Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: PBT perlu berintegriti, elak persepsi negatif masyarakat terhadap rasuah

SEREMBAN: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu berintegriti dan telus melaksanakan setiap tugas kepada masyarakat bagi mengelak persepsi negatif, sekali gus menghalang penularan rasuah.


Lembaga Penasihat Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Datuk Mohammad Salim Sundar Abdullah, berkata setiap PBT perlu mempunyai pelan antirasuah supaya sesebuah organisasi dapat menyatakan secara telus jika mereka berdepan risiko rasuah yang tinggi.


"Pengurusan tertinggi perlu bertindak tegas, terus laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun pembabitan dalam rasuah menyebabkan tindakan ketat diambil terhadap pekerja, dibuang kerja dan turun pangkat," katanya pada Seminar Bebas Rasuah, Integriti dan Tadbir Urus Terbaik Pihak Berkuasa Tempatan 2022 serta Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, hari ini.


Katanya, setiap gerak-geri pelaksanaan anggota dan pegawai PBT juga sentiasa dipantau, dinilai dan diadili masyarakat yang boleh menimbulkan persepsi baik atau buruk terhadap sesebuah PBT itu.


"Misalnya papan iklan yang banyak di sekitar Nilai, mungkin orang awam beranggapan pihak MBS tidak melakukan kerja walhal sebaliknya (sudah turun padang).


"Jadi mungkin boleh dianggap MBS bahawa papan iklan itu mendapat kelulusan, begitu juga kewujudan gerai di tepi jalan," katanya.


Sementara itu, Datuk Bandar, Datuk Masri Razali ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, MBS adalah PBT pertama di negeri ini yang membangunkan OACP.


Katanya, ia sejajar matlamat dan hasrat Kerajaan Negeri Sembilan dalam Pelan Antirasuah Negeri Sembilan (ANTS) 2020-2024 iaitu mewujudkan 'Negeri Sembilan Bebas Rasuah' dan menuju ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.


"Malah, OACP mengandungi pelan tindakan menyeluruh bagi membanteras rasuah, meningkatkan budaya kerja berintegriti dan tadbir urus yang baik di MBS.


"Diharapkan ia dapat memberi manfaat dan faedah kepada warga Seremban, selain menjadi satu pemangkin serta mekanisme jitu dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan MBS terus telus dan berkredibiliti," katanya.


Sumber: Berita Harian

Comments


bottom of page