top of page

Patuh garis panduan majukan kawasan sensitif alam sekitar


Patuh garis panduan majukan kawasan sensitif alam sekitar
Lokasi kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm Jalan Genting, Batang Kali, pada Disember 2022. - Foto fail NSTP

Patuh garis panduan majukan kawasan sensitif alam sekitar

KAWASAN Sensitif Alam Sekitar (KSAS) adalah kawasan khas sangat sensitif dengan sebarang perubahan kepada ekosistemnya akibat proses alam semula jadi atau aktiviti di dalam atau persekitarannya. Sebagai contoh, kawasan berpotensi mengalami bencana banjir, tanah runtuh, jatuhan batu, tanah mendap, tanah mengembang dan hakisan tinggi tergolong dalam KSAS.


Justeru, kita tidak patut mengorbankan alam sekitar demi keuntungan jangka pendek seterusnya menjejaskan kemampanan dan kesejahteraan masyarakat serta negara dalam jangka panjang. Kebelakangan ini menyaksikan impak negatif terhadap persekitaran fizikal dan budaya ketara akibat pembangunan pesat tidak terkawal dan pengurusannya kurang efektif.


Pembangunan tidak seimbang yang kebiasaannya berat sebelah kepada ekonomi, di samping meminggirkan kelestarian alam sekitar membawa kepada kemerosotan alam secara mendadak.


Kita tentu masih ingat tragedi runtuhan cerun meranapkan tiga tapak perkhemahan milik di Batang Kali tahun lalu sehingga mengorbankan 31 mangsa dikategorikan sebagai KSAS tahap 2, iaitu sensitif kepada pembangunan tanah kerana berkecerunan sekitar 30 hingga 45 darjah.


Penerokaan hutan secara meluas untuk pelbagai aktiviti pembangunan khususnya hutan paya bakau dan hutan tanah tinggi mengancam kepelbagaian biologi dan hidupan liar.


Pada asasnya interaksi antara manusia dengan alam sekitar secara mampan akan dapat mengekalkan kelestarian alam sekitar. Namun, sekiranya pembangunan dijalankan manusia mengetepikan aspek penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar, manusia mengundang bencana ke atas kehidupan mereka.


Kejadian banjir khususnya banjir kilat akibat pencerobohan ketara terhadap KSAS seperti hutan, kawasan berdekatan sungai, pantai ataupun tempat takungan air harus dielakkan untuk mengelakkan kemungkinan untuk banjir.


Semua ini memberikan pengajaran bahawa setiap aktiviti dilakukan memberi impak kepada alam dan masyarakat sekeliling. Lantaran itu, sebelum melakukan sesuatu, wajar untuk berfikir dan membuat perancangan sebaiknya supaya kejadian buruk dan tidak diingini berlaku.


Pertimbang faktor alam sekitar

Menyedari keperluan melindungi KSAS bagi menggalakkan kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari, kerajaan membentuk suatu rangka kerja perundangan dan institusi untuk pemeliharaan alam sekitar. Pelabur dan pemaju misalnya, digalakkan menimbangkan faktor alam sekitar ketika peringkat awal perancangan projek mereka.


Aspek kawalan pencemaran, termasuk pengubahsuaian mungkin dilakukan untuk mengurangkan penjanaan buangan, melihat aspek pencegahan pencemaran sebagai sebahagian daripada proses pengeluaran dan memberikan tumpuan kepada pilihan kitar semula, termasuk budaya kawal selia kendiri.


Paling utama, Dasar Alam Sekitar Negara (DASN) sudah diwartakan demi mencapai kemajuan ekonomi, sosial dan budaya berterusan serta peningkatan kualiti hidup rakyat menerusi kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari.


Selain itu, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan sampingannya menetapkan supaya Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekitar (EIA), penilaian awal tapak, penilaian kawalan pencemaran, pemantauan dan pengawalseliaan kendiri dilaksanakan.


Aktiviti pembangunan membabitkan projek ditetapkan pula dikehendaki mendapatkan kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar sebelum pelaksanaan projek.


Garis Panduan Perancangan Pemuliharaan dan Pembangunan (GPPPP) KSAS oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa seharusnya menjadi panduan dan bertujuan untuk membantu kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menentukan jenis kegunaan tanah dan aktiviti pembangunan dibenarkan dan tidak dibenarkan di KSAS.


Penulis adalah Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia


Sumber: Berita Harian


Patuh garis panduan majukan kawasan sensitif alam sekitar

bottom of page